BERITA TERKINI   PRN Johor: Sebarang keputusan esok tidak akan jejas kerjasama di peringkat Kerajaan Persekutuan - TPM Ahmad Zahid | 81 pegawai Imigresen dikenakan tindakan tatatertib, 14 dibuang kerja tahun ini kerana rasuah dan salah guna kuasa - KP Imigresen | Menteri Komunikasi Fahmi akan dikurniakan DPPN Pulau Pinang dengan gelaran Datuk Seri, esok - Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan Negeri | 

Program Penyumberan Global Jana Jualan Eksport RM325.9 Juta Untuk Firma Aeroangkasa Tempatan

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Program Penyumberan Global (GSP) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah menjana jualan eksport sebanyak RM325.95 juta untuk syarikat aeroangkasa Malaysia.

MATRADE dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa GSP pertama yang diadakan sempena Sidang Kemuncak MyAERO 2026, dengan kerjasama Perbadanan Industri Aeroangkasa Nasional Malaysia (NAICO Malaysia), melibatkan 10 pengeluar Malaysia dan syarikat aeroangkasa global, termasuk COMAC dari China dan Safran dari Perancis.

“GSP menyokong sasaran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk memangkinkan pertumbuhan pendapatan 15 peratus hingga 20 peratus bagi sektor aeroangkasa domestik tahun ini.

Ad Banner

“Pembeli dan peserta tempatan mengarahkan perbincangan komersial ke arah segmen margin tinggi, termasuk sistem dan komponen pendorong, aerostruktur komposit termaju, perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta peralatan dan kelengkapan khusus aeroangkasa,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MATRADE, Abu Bakar Yusof berkata kejayaan GSP, seperti eksport aeroangkasa Malaysia, dibina atas kekuatan keupayaan pembuatan negara dan bukannya daya saing kos semata-mata.

Beliau berkata GSP telah menterjemahkan kredibiliti pembuatan Malaysia kepada jualan eksport yang kukuh dengan menyediakan akses langsung kepada pembeli, sekali gus mempercepatkan pertumbuhan eksport melangkaui pendedahan pasaran tambahan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Kami memberi banyak tumpuan kepada pendekatan ini bagi memajukan sasaran Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 (MAIB 2030) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 untuk meletakkan Malaysia sebagai hab aeroangkasa terkemuka di Asia Tenggara, kata Abu Bakar.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia NAICO Malaysia, Dr Shamsul Kamar Abu Samah berkata jualan kukuh dijana daripada hanya 18 sesi pemadanan perniagaan menunjukkan bahawa permintaan untuk keupayaan aeroangkasa Malaysia adalah secara serta-merta dan bukannya aspirasi.

“Kekuatan kita dalam penyelenggaraan kerangka pesawat dan pangkalan menjadi pemacu utama kepada sektor MRO semasa, namun menukar asas itu kepada sasaran pertumbuhan 15 hingga 20 peratus oleh MITI tahun ini bermakna kita perlu beralih secara tegas ke arah kejuruteraan bernilai lebih tinggi, inovasi serta penyelidikan dan pembangunan, di samping membina rangkaian bakat yang diperlukan oleh peralihan ini, katanya.

Sementara itu, menurut MATRADE, ia akan menerajui penyertaan Malaysia di Pameran Udara Antarabangsa Farnborough (FIA) 2026 di United Kingdom dari 20 hingga 24 Julai, menandakan penyertaan keenam berturut-turut negara dalam pameran perdagangan aeroangkasa.

Pavilion Malaysia akan menampilkan 15 pempamer, termasuk CTRM Aero Composites Sdn Bhd, UMW Aerospace Sdn Bhd dan Malaysia Aviation Group, mewakili segmen pembuatan aeroangkasa, integrasi sistem, perkhidmatan kejuruteraan dan reka bentuk, latihan dan pendidikan, MRO dan perkhidmatan penerbangan.

Sejak penampilan sulung di FIA pada 2014, Malaysia telah memperoleh RM4.8 bilion dalam perjanjian eksport terkumpul yang menampilkan 43 syarikat Malaysia yang mengambil bahagian dan lebih 600 padanan perniagaan dijalankan sehingga kini, acara itu kekal sebagai platform strategik yang penting untuk memperluas eksport aeroangkasa dan rakan kongsi global negara, menurut MATRADE.

MATRADE juga akan melancarkan Pavilion Maya Malaysia di platform Perdagangan Digital MADANI semasa FIA 2026, membolehkan syarikat yang mengambil bahagian mengekalkan keterlihatan mereka kepada pembeli antarabangsa di luar pameran.

“Pendekatan hibrid ini akan memberi syarikat aeroangkasa Malaysia keterlihatan sepanjang tahun, mengekalkan penglibatan mereka dengan pembeli antarabangsa, dan mewujudkan peluang lebih besar untuk memperoleh rakan kongsi eksport bernilai tinggi, melepasi janga masa acara lima hari itu,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA