BERITA TERKINI   Perenang Selangor Eliza Tan Ai Shen dan penembak Pahang Cheah Zen Hong dinobat Atlet Terbaik Wanita dan Lelaki SUKMA 2026 - Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA | Liga Super: Sabah FC 3-1 Star City FC | Selangor raih juara keseluruhan SUKMA 2026 - Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA | Perenang Selangor Eliza Tan Ai Shen dan penembak Pahang Cheah Zen Hong dinobat Atlet Terbaik Wanita dan Lelaki SUKMA 2026 - Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA | 1 Sept diumum cuti peristiwa sempena kejayaan kontinjen Selangor rangkul juara keseluruhan SUKMA 2026 - MB Selangor | 

Aset Di Bawah Pengurusan Sime Darby Property Capai RM5 Bilion Pada Separuh Pertama 2026

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Aset di bawah pengurusan (AUM) Sime Darby Property Bhd meningkat kepada RM5 bilion pada separuh pertama 2026 berikutan pemaju hartanah itu terus memperluas portfolio pendapatan berulang dan pada masa sama mengekalkan lembaran imbangan yang berdaya tahan.

Pengarah Urusan kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Azmir Merican berkata dana di bawah pengurusan pada masa ini berjumlah RM2.25 bilion manakala nisbah tahap kadar hutang kekal di bawah 0.5 kali walaupun kumpulan berkembang secara agresif dalam perniagaan pengurusan aset.

“AUM kami telah meningkat kepada RM5 bilion manakala dana di bawah pengurusan pada masa ini berjumlah RM2.25 bilion.

Ad Banner

“Lembaran imbangan kami kekal berdaya tahan walaupun kami agresif dalam mengembangkan perniagaan pengurusan aset,” katanya semasa taklimat prestasi “Sime Darby Property Highlights” bagi separuh pertama 2026 hari ini.

Azmir berkata kumpulan itu menjangkakan separuh kedua 2026 yang sibuk, dengan pembangunan perbandaran, rumah bertanah dan produk perindustrian bernilai RM1.2 bilion untuk dilancarkan, selain mengekalkan sasaran jualan setahun penuh sebanyak RM4 bilion.

Beliau berkata kumpulan itu juga akan melancarkan The Oram, projek pertamanya di Melbourne, Australia dalam tempoh beberapa bulan akan datang dan akan menyumbang kepada jualan untuk tempoh yang masih berbaki tahun ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Pembangunan perindustrian dijangka kekal sebagai penyumbang utama, dengan sumbangannya diunjurkan mencapai kira-kira 41 peratus. Pada masa sama, kumpulan akan meningkatkan bahagian pelancaran projek kediaman, rumah bertanah dan bangunan bertingkat tinggi pada separuh kedua 2026,” katanya.

Sementara itu, Azmir berkata kumpulan itu kekal komited terhadap sasarannya untuk memastikan pendapatan berulang menyumbang kira-kira 30 peratus daripada pendapatan kumpulan berikutan pendapatan berulangnya menjadi penyumbang yang semakin besar terhadap keuntungan kumpulan.

“Kami mahu mencapai 30 peratus, tetapi itu tidak bermakna kami tidak mengembangkan perniagaan pembangunan hartanah. Oleh itu, sasaran kami adalah untuk meneruskan dan menyasarkan 30 peratus. Itu adalah sasaran yang kami tahu kami ada, angka dalaman yang kami mahu capai," katanya.

Azmir berkata pertumbuhan pendapatan berulang akan memberikan kebolehramalan pendapatan yang lebih tinggi dan membantu mengurangkan potensi turun naik dalam perniagaan pembangunan hartanah.

“Dengan adanya pendapatan berulang, kami dapat mengurangkan kesan isu-isu ini. Apabila pendapatan berulang semakin besar, bukan sahaja kami dapat mengurangkan kesan itu, malah membolehkan bahagian pendapatan yang besar lebih mudah dijangka.

“Oleh itu, ini meningkatkan keupayaan kami untuk memberikan pulangan yang lebih baik kepada pemegang saham,” katanya.

Mengenai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Azmir berkata kumpulan itu melihat koridor berkenaan sebagai peluang untuk pertumbuhan jangka panjang walaupun masih belum melaksanakan pengembangan secara besar-besaran di Johor.

“Kami sememangnya perlu melihat peluang ini. Ini merupakan peluang yang menarik. Sudah tentu, kami melihat banyak syarikat seangkatan kami menunjukkan prestasi yang baik,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu sedang menilai semula perancangan perniagaannya di Johor, dengan operasinya di Kulai menawarkan kedudukan strategik untuk terlibat dalam pertumbuhan jangka panjang wilayah berkenaan.

“Kami berada di sini untuk jangka panjang. Saya berpandangan, itulah sebabnya kami bertapak di Kulai,” katanya.

Keuntungan bersih Sime Darby Property meningkat kepada RM322.03 juta pada suku kedua berakhir pada 30 Jun 2026 daripada RM143.54 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, menurutnya keuntungan bersih yang lebih tinggi itu didorong terutamanya oleh prestasi asas yang kukuh dalam segmen pembangunan hartanah serta pelaburan dan pengurusan aset.

Selain itu, prestasi ini turut disokong keuntungan nilai saksama daripada hartanah pelaburan yang diiktiraf selepas aset itu siap serta bahagian keputusan kewangan yang lebih baik daripada usaha sama.

-- BERNAMA