Mandat B50 Indonesia Buka Peluang Pertumbuhan Bagi Minyak Sawit Malaysia - MPOC
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Pelaksanaan mandat biodiesel B50 secara menyeluruh di Indonesia baru-baru ini membuka peluang bagi Malaysia untuk memperkukuh pasaran minyak sawit sedia ada selain meningkatkan penguasaan pasarannya di destinasi terpilih.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) Belvinder Sron berkata Malaysia dijangka menerima manfaat daripada pengurangan bekalan eksport minyak sawit dari Indonesia susulan mandat B50 yang dijangka mengalihkan lebih banyak minyak sawit untuk kegunaan domestik.
"Sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia yang bersama-sama dengan Indonesia menyumbang kira-kira 85 peratus daripada eksport minyak sawit global, Malaysia secara semula jadi menjadi sumber alternatif bagi pengimport yang ingin memastikan bekalan yang boleh dipercayai.
"Bagaimanapun, sejauh mana manfaat ini diperoleh akan bergantung kepada beberapa faktor pasaran. Permintaan global terhadap minyak sawit bukan sahaja dipengaruhi oleh ketersediaan eksport Indonesia malah dipengaruhi juga oleh bekalan dan daya saing harga minyak sayuran pesaing terutamanya minyak soya," katanya kepada Bernama.
Belvinder memberitahu pelaksanaan penuh mandat B50 akan memerlukan tambahan tiga juta tan minyak sawit setiap tahun sekali gus meningkatkan permintaan minyak sawit bagi biodiesel kepada sekitar 16 juta tan dan jumlah penggunaan domestik kepada kira-kira 26 juta tan.
Katanya, ini adalah bersamaan dengan 52 peratus daripada pengeluaran minyak sawit Indonesia bagi 2025.
"Ini hanya akan meninggalkan 48 peratus daripada pengeluarannya untuk dieksport. Ia merupakan satu perubahan ketara berbanding 2019 ketika mandat biodiesel Indonesia ialah B20 dan negara tersebut mengeksport sekitar 68 peratus daripada pengeluaran minyak sawit tahunannya.
"Peralihan ini sememangnya dicerminkan dalam perdagangan global. Minyak sawit menyumbang sekitar 56 peratus daripada perdagangan minyak dan lemak global pada 2019, namun penguasaannya merosot kepada 49 peratus pada 2025," tambah beliau.
Menurut laporan, mandat biodiesel B50 baharu Indonesia berkuat kuasa 1 Julai yang memerlukan bahan api diesel mengandungi 50 peratus campuran biodiesel berasaskan minyak sawit, meningkat daripada keperluan campuran 40 peratus sebelum ini.
Belvinder menyatakan mandat biodiesel yang lebih tinggi cenderung untuk menyediakan paras sokongan struktur bagi harga minyak sawit mentah (MSM) memandangkan lebih banyak minyak sawit diserap oleh pasaran domestik, sekali gus mengurangkan jumlah yang tersedia untuk dieksport.
Sehubungan itu, beliau berkata harga MSM akan terus dipengaruhi terutamanya oleh dinamik penawaran dan permintaan global.
"Ketersediaan dan prestasi harga minyak masak, harga tenaga, perkembangan geopolitik serta perubahan dalam dasar perdagangan juga akan mencorak tinjauan harga jangka panjang.
Bagi separuh kedua 2026, harga MSM dijangka berada dalam lingkungan RM4,300 hingga RM4,700 setiap tan, disokong oleh tinjauan bekalan yang lebih ketat di Indonesia dan peningkatan risiko El Nino," kata Belvinder.
Bagaimanapun, kenaikan harga MSM mungkin dihadkan oleh paras inventori minyak sayuran yang tinggi di pasaran pengimport utama seperti China dan India.
“Ekonomi biodiesel juga menjadi kurang menyokong memandangkan harga gasoil turun di bawah harga minyak sawit dalam pasaran niaga hadapan,” tambah beliau.
-- BERNAMA