BERITA TERKINI   Jerebu: Semua sekolah bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah Lubok Antu ditutup esok - Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak | Beberapa kawasan kekal berisiko alami jerebu dengan jarak penglihatan terhad pada 27 hingga 31 Ogos - KP MetMalaysia | Sambutan Hari Kebangsaan: Kepekatan jerebu yang tinggi berpotensi berlaku di Putrajaya sehingga 31 Ogos - KP MetMalaysia | Banjir Nepal : Wisma Putra gesa orang awam henti spekulasi, kongsi maklumat tidak sahih | Majlis Amanat Perdana akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 9.30 malam, 30 Ogos ini - Jawatankuasa Kerja Sambutan HKHM | 

Pasaran Getah Kuala Lumpur Ditutup Tinggi Dipacu Permintaan China, Lonjakan Harga Minyak

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Isnin, disokong permintaan fizikal yang lebih kukuh dari China serta kenaikan harga minyak mentah, meskipun prestasi niaga hadapan getah di pasaran serantau bercampur-campur, kata seorang peniaga.

Beliau berkata sentimen pasaran turut didorong oleh eksport tayar China yang berdaya tahan, penyusutan nilai ringgit berbanding dolar AS dan permintaan global yang berterusan terhadap sektor automotif.

Ad Banner

"Niaga hadapan getah Jepun meningkat pada Isnin susulan permintaan fizikal yang kukuh dan prestasi eksport tayar China yang terus stabil, manakala kenaikan harga minyak turut menyokong pasaran.

"Harga minyak mentah melonjak berikutan serangan ketenteraan baharu AS ke atas Iran yang menimbulkan kebimbangan terhadap penghantaran minyak melalui Selat Hormuz," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kenaikan harga tenaga turut meningkatkan kos pengeluaran getah sintetik, sekali gus menjadikan getah asli lebih berdaya saing.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ketika ini, harga minyak mentah Brent meningkat 2.99 peratus kepada US$78.28 setong.

Bagaimanapun, kenaikan pasaran dihadkan oleh ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat, yang mencetuskan kebimbangan terhadap inflasi serta meningkatkan jangkaan kenaikan lanjut kadar oleh bank-bank pusat utama dunia.

Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) meningkat tujuh sen kepada 889.5 sen sekilogram, manakala harga lateks pukal kekal pada 729.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA