MITI, Kementerian Ekonomi Akan Teliti Cadangan MPMA Untuk Tangani Kenaikan Kos Bahan Mentah
KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah memutuskan supaya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Kementerian Ekonomi meneliti cadangan dikemukakan Persatuan Pekilang Plastik Malaysia (MPMA) dalam menangani tekanan rantaian bekalan global dan kenaikan kos bahan mentah.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerajaan mengambil serius isu berkenaan.
Menurutnya, mesyuarat MTEN hari ini mengambil maklum beberapa cadangan dikemukakan oleh pihak industri serta cadangan dikemukakan MPMA berhubung beberapa isu stuktur kos dan daya saing dihadapi oleh pengilang hiliran, termasuk perbezaan kos bahan mentah berbanding negara pesaing.
“Ini bagi mengambil kira kepentingan keseluruhan rantaian industri, keseimbangan fiskal serta daya saing ekonomi negara dalam tempoh jangka panjang,” katanya dalam Taklimat Krisis Bekalan Global di laman Facebook kementerian itu hari ini.
Akmal Nasrullah berkata industri plastik merupakan industri sokongan kepada banyak sektor dan pada 2025, nilai jualannya berjumlah RM62.69 bilion, berbanding RM64.78 bilion pada 2024.
“Pembungkusan mewakili 45 peratus pasaran, manakala elektrik dan elektronik sebanyak 29 peratus. Apabila industri plastik tertekan, kesannya boleh merebak kepada pembungkusan makanan, komponen E&E, automotif, peranti perubatan, pembinaan, pertanian dan eksport pembuatan,” katanya.
Beliau turut berkata bahawa cadangan pelaksanaan Extended Producer Responsibility (EPR) secara sukarela juga akan diteliti bersama implikasi kos, kapasiti perusahaan kecil dan sederhana dan kesiapsiagaan infrastruktur kitar semula.
Jika dilaksanakan dengan baik, ekonomi kitaran boleh meningkatkan penggunaan bahan kitar semula, mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah dan membina sumber bekalan domestik yang lebih tahan terhadap kejutan geopolitik, katanya.
Sementara itu, beliau berkata inflasi pada Mei 2026 kekal terkawal pada 2.0 peratus, berbanding 1.9 peratus pada April, manakala prestasi perdagangan turut meningkat 18.3 peratus kepada hampir RM1.5 trilion bagi tempoh Januari hingga Mei 2026.
“Eksport berkembang 24.3 peratus kepada RM793.8 bilion, import meningkat 11.8 peratus kepada RM661.1 bilion dan lebihan dagangan berjumlah RM132.8 bilion,” kata Akmal Nasrullah.
-- BERNAMA