Milux Cadang Ambil Alih 100 Peratus Pegangan Dalam Movon Bernilai RM150 Juta
KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Syarikat pengedar kelengkapan rumah, Milux Corporation Bhd telah bercadang mengambil alih 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Movon Sdn Bhd daripada Abletech Solutions Sdn Bhd (ASSB) dan Datuk Dr Lim Jee Gin pada nilai RM150 juta.
Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia hari ini, Milux memaklumkan bahawa ia telah memeterai perjanjian penjualan saham bersyarat dengan ASSB dan Lim (pihak penjual), serta Movon dan pihak yang dicalonkan oleh ASSB, bagi cadangan pengambilalihan tersebut.
Menurut Milux, cadangan pengambilalihan itu melibatkan 298.15 million saham biasa dalam Movon, mewakili 100 peratus daripada keseluruhan saham syarikat berkenaan.
Pertimbangan pembelian bernilai RM150 juta itu akan diselesaikan sepenuhnya menerusi peruntukan dan penerbitan 220.59 juta saham baharu Milux pada harga terbitan 68 sen sesaham, menurut syarikat itu.
Menurut Milux, cadangan pengambilalihan ini seiring dengan strategi kumpulan untuk memperkukuh kedudukannya dalam segmen perkakas rumah dan produk isi rumah dengan menawarkan rangkaian produk serta perkhidmatan yang lebih komprehensif.
Cadangan pengambilalihan itu akan memperluas saluran pengedaran Milux melangkaui kedai pengedar sah dan platform e-dagang dengan menyediakan akses segera kepada rangkaian jualan langsung ejen jualan berdaftar Movon di seluruh negara, menurut kenyataan itu.
Selain itu, pendapatan Kumpulan Milux buat masa ini dijana kebanyakannya melalui jualan terus konvensional iaitu produk dijual kepada pengedar sah untuk jualan runcit seterusnya kepada pelanggan dengan sebahagian kecil disumbangkan oleh skim sewa beli (R2O).
Cadangan pengambilalihan ini akan membolehkan syarikat itu memanfaatkan infrastruktur R2O Movon yang lebih mantap dan terbukti, menawarkan fleksibiliti pembayaran lebih besar kepada pelanggan (berbanding jualan terus tradisional) melibatkan kos pendahuluan lebih rendah, menurut Milux,
Milux memaklumkan bahawa susulan cadangan pengambilalihan itu, kumpulan diperbesar itu akan dapat menawarkan kepelbagaian produk lebih luas, rangkaian pengedaran pelbagai saluran dan struktur pembayaran lebih inovatif menerusi skim R2O Movon lebih mantap.
Sehubungan itu, cadangan pengambilalihan berkenaan dijangka memperkukuh liputan pasaran Kumpulan Milux diperbesar dalam segmen barangan keperluan rumah, akses pelanggan serta membolehkan Kumpulan Milux diperbesar menembusi pasaran sasaran baharu termasuk isi rumah yang mempunyai pendapatan terhad dan pengguna celik teknologi, menurut syarikat itu.
-- BERNAMA