Kerajaan Sasar Sistem Perlindungan Sosial Menyeluruh Hadapi Status Negara Tua - Kementerian Ekonomi

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Kerajaan menyasarkan pembangunan sistem perlindungan sosial yang menyeluruh dalam jangka panjang sebagai antara langkah mempersiapkan Malaysia menghadapi status negara tua, menurut Kementerian Ekonomi.

Usaha berkenaan turut merangkumi pembangunan sistem kesihatan yang mampan serta ekonomi berteraskan produktiviti tinggi bagi memastikan negara benar-benar bersedia menghadapi perubahan struktur demografi.

“Tumpuan akan diberikan kepada pengukuhan kemampanan fiskal negara melalui reformasi pembiayaan sosial dan kesihatan, pengurusan perbelanjaan awam yang lebih cekap serta pengoptimuman sumber negara.

Ad Banner

“Langkah ini untuk memastikan peningkatan perbelanjaan berkaitan warga emas dapat ditampung tanpa menjejaskan kestabilan fiskal jangka panjang,” kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang meminta kementerian itu menjelaskan strategi dan langkah jangka pendek, sederhana dan panjang dalam menghadapi peralihan Malaysia ke arah negara menua.

Kerajaan akan terus mengembangkan potensi ekonomi perak sebagai sumber pertumbuhan baharu menerusi pembangunan produk, perkhidmatan dan industri yang memenuhi keperluan populasi menua, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan serta pelaburan baharu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

--BERNAMA