BERITA TERKINI   Sweden, Poland, Romania dan Lithuania diterima menjadi anggota baharu Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) - Mohamad Hasan  | ASEAN terima United Kingdom sebagai negara anggota Forum Serantau ASEAN (ARF) yang baharu- Mohamad Hasan | ASEAN terima kemasukan Turkiye sebagai Rakan Dialog yang baharu - Mohamad Hasan | 63,475 pasport Malaysia versi baharu dikeluarkan setakat 17 Julai - KP Imigresen | BN kekal dalam Kerajaan Perpaduan selaras resolusi PAU, semua pihak diminta hormati keputusan badan tertinggi - Ahmad Zahid | 

RUU Kumpulan Wang Amanah Negara 2026 Dibentang Untuk Bacaan Kali Pertama

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Amanah Negara 2026 bagi memperbadankan Kumpulan Wang Amanah Negara (Diperbadankan) (KWAN) dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong ketika membentangkan RUU itu berkata ia bertujuan menubuhkan sebuah badan khusus untuk mentadbir, mengurus dan melaburkan dana KWAN serta memastikan badan itu kekall sebagai rizab kewangan bagi generasi Malaysia masa kini dan akan datang.

Katanya, bacaan kali kedua RUU tersebut akan dilaksanakan pada mesyuarat kali ini.

Ad Banner

Menurut RUU itu, akta tersebut akan dinamakan Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 2026 dan berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh menteri (kewangan) melalui pemberitahuan dalam warta.

Mengikut pembentangan bacaan kali pertama RUU itu, Kerajaan Persekutuan diwajibkan membuat sumbangan bagi setiap tahun kewangan kepada KWAN.

Ia merangkumi sekurang-kurangnya 0.1 peratus daripada unjuran hasil tahunan Kerajaan Persekutuan, dua peratus daripada dividen yang diterima daripada Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan dua peratus daripada duti eksport bagi tahun kewangan tersebut. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Jumlah sumbangan bagi setiap tahun kewangan hendaklah dimasukkan dalam penyata kewangan tahunan yang dibentangkan di Dewan Rakyat, manakala Kerajaan Persekutuan perlu memindahkan jumlah tersebut ke dalam KWAN selewat-lewatnya pada akhir tahun kewangan berkaitan.

Selain itu, RUU itu juga mencadangkan KWAN menerima sumbangan daripada kerajaan negeri yang memperoleh royalti petroleum, hasil pelaburan dana, pemberian dan derma serta sumbangan daripada pihak yang terlibat dalam penyelidikan atau pembangunan sumber menyusut.

RUU itu turut mencadangkan penggunaan KWAN bagi tujuan pelaburan, membiayai saraan dan perbelanjaan lembaga (Lembaga KWAN), pegawainya, selain kos berkaitan pentadbiran, pengurusan serta pelaburan dananya.

Selain itu, lembaga hendaklah mengemukakan kepada menteri penyata, laporan, akaun dan maklumat berkaitan aset serta aktiviti KWAN seperti yang dikehendaki dari semasa ke semasa.

Pada masa sama, RUU itu menyatakan bahawa KWAN berfungsi sebagai pentadbir, pengurus dan melaburkan dana KWAN mengikut peruntukan akta tersebut.

Menurut RUU itu, KWAN juga mempunyai kuasa untuk melaksanakan semua atau sebahagian fungsinya di dalam atau di luar Malaysia, dan dengan kelulusan menteri, menubuhkan syarikat bagi tujuan pelaburan sebagaimana yang difikirkan wajar oleh lembaga.

-- BERNAMA