Pelabuhan Midport Di Port Dickson Bakal Perkukuh Kedudukan Malaysia Sebagai Hab Maritim - PM Anwar
PORT DICKSON, 14 Julai (Bernama) – Pembangunan Pelabuhan Midport di sini bakal memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab digital dan maritim sekali gus meningkatkan keupayaan negara memenuhi permintaan perdagangan global yang semakin berkembang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata projek pelabuhan berteknologi kecerdasan buatan (AI) itu bukan sekadar pembangunan infrastruktur baharu, malah memenuhi keperluan strategik sebagai sebuah negara maritim yang terletak di laluan perkapalan paling sibuk di dunia, iaitu di Selat Melaka.
“Pelabuhan ini bukan projek kecil. Selat Melaka merupakan antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia. Jika kita hanya melihat kapal lalu-lalang tanpa memanfaatkan kedudukan strategik ini, maka kita tidak pintar.
“Walaupun Malaysia sudah mempunyai beberapa pelabuhan utama seperti Pelabuhan Pulau Pinang, Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas, namun permintaan terhadap perkhidmatan pelabuhan dan logistik terus meningkat.
“Justeru, kita perlu menambah kapasiti bagi memenuhi keperluan tersebut,” kata beliau pada majlis pecah tanah projek pelabuhan berkenaan hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Perdana Menteri berkata projek itu juga membuktikan keberkesanan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta dalam merealisasikan pembangunan infrastruktur strategik tanpa membebankan kewangan kerajaan.
Beliau berkata penggunaan teknologi AI dalam operasi pelabuhan akan meningkatkan kecekapan melalui analisis data masa nyata, mempercepat tempoh pengendalian kapal, mengurangkan kos operasi dan jejak karbon berbanding pelabuhan konvensional.
“Apabila projek ini dikemukakan, tidak membebankan dana kerajaan, kita menyambut baik. Tambahan pula, industri atau projek itu bersifat strategik dari segi pelaburan manakala pendekatannya super efisien berasaskan AI, maknanya menjimatkan masa dan mengurangkan kos. Oleh itu, ia ada kelebihan berbanding pelabuhan konvensional.
“Pendekatan ini juga selari dengan agenda ekonomi digital negara, meningkatkan kecekapan serta menyokong aspirasi Malaysia Vision Valley 2.0 dan Ekonomi MADANI,” kata beliau.
Anwar berkata pembangunan pelabuhan itu turut membuka lembaran baharu kepada pembangunan ekonomi Port Dickson dan Linggi yang sebelum ini kurang menerima limpahan pelaburan berskala besar.
Beliau berkata projek itu dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri di Negeri Sembilan selain meletakkan kawasan itu dalam peta pembangunan maritim bertaraf antarabangsa.
“Linggi sebelum ini tidak mempunyai satu subjek yang dapat menarik minat pelabur dan merancakkan kegiatan di kawasan ini. Justeru, dengan kejayaan ini, Linggi dan Port Dickson, sudah berada dalam peta pembangunan yang agak setanding dengan peringkat antarabangsa,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata ketidaktentuan geopolitik global termasuk isu di Terusan Panama, Terusan Suez dan Selat Hormuz menjadikan Selat Melaka semakin penting sebagai laluan perdagangan antarabangsa.
“Dianggarkan kira-kira 20 hingga 25 peratus perdagangan maritim dunia melalui Selat Melaka. Ini memberikan kelebihan strategik kepada Malaysia dan projek pelabuhan ini amat penting untuk memperkukuh daya saing ekonomi negara,” kata beliau.
Beliau turut menggesa syarikat yang terlibat dalam pembangunan pelabuhan itu supaya memberi penekanan kepada pembangunan modal insan tempatan dengan melatih lebih ramai anak muda, khususnya dari Port Dickson dan Negeri Sembilan dalam bidang teknologi dan pengurusan pelabuhan.
“Ini pelaburan yang besar dan saya mahu anak-anak muda di Port Dickson dan Negeri Sembilan diberi peluang mengikuti latihan supaya mereka menjadi sebahagian daripada pembangunan pelabuhan pintar ini,” kata beliau.
Anwar berkata kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan kawasan yang sebelum ini kurang menerima perhatian melalui projek infrastruktur berimpak tinggi bagi memastikan pertumbuhan ekonomi lebih seimbang di seluruh negara.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata projek tersebut merupakan satu usaha sama strategik antara Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) atau MBINS dengan syarikat Midports Holdings Sdn Bhd, iaitu anak syarikat milik penuh Tanco Holdings Berhad melibatkan kos pembangunan dianggarkan sebanyak RM3.4 bilion.
Beliau berkata kawasan pembangunan seluas kira-kira 72.84 hektar (180 ekar) itu adalah dalam had pelabuhan Kuala Sungai Linggi di Mukim Pasir Panjang di sini dengan tempoh pelaksanaan untuk fasa pertama kira-kira tiga tahun.
“Pelabuhan kontena pintar dapat memanfaatkan kecerdasan buatan, automasi, Internet of Things, analitik data masa nyata, sistem pengurusan trafik pelabuhan yang lebih cekap serta operasi logistik berasaskan teknologi,” katanya.
Aminuddin berkata pelabuhan berkenaan berpotensi memendekkan masa pengendalian kargo, meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh keselamatan dan mengukuhkan daya saing rantaian bekalan negara.
Beliau berkata projek pelabuhan pintar ini akan turut digabungkan dengan perancangan pembangunan Zon Bebas Port Dickson (PDFZ) seluas kira-kira 566.5 hektar (1,400 ekar) di Ladang Sengkang, Mukim Pasir Panjang.
-- BERNAMA