Malaysia Pilihan Kedua Paling Menarik Bagi Pasaran Modal Global -- Mantan Ahli Ekonomi ADB
KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Malaysia menyerlah sebagai pilihan kedua paling menarik bagi pasaran modal global selepas Amerika Syarikat (AS), didorong oleh prospek ekonomi domestik yang baik, dasar monetari stabil serta aliran modal yang berdaya tahan.
Mantan ahli ekonomi Bank Pembangunan Asia (ADB) dan pernah berkhidmat sebagai perunding bagi Bank Dunia, Dr Sailesh Kumar Jha berkata Malaysia kekal berada pada kedudukan baik walaupun berlaku ketidaktentuan ketara serta potensi jualan besar-besaran di pasaran kewangan global dalam minggu-minggu akan datang.
“Jika perlu memilih negara lain selain pasaran paling saya minati di dunia iaitu AS, saya akan memilih Malaysia di tempat kedua peringkat global,” katanya sewaktu menjadi tetamu program Bernama World bertemakan “Outlook Makro Global” terbitan Bernama TV hari ini.
Sambil menyifatkan Malaysia sebuah negara berbeza, Jha berkata negara ini berada pada landasan tepat dan mempunyai penampan yang baik dari segi risiko daripada konflik Asia Baat.
“Di peringka pasaran minyak global, ganguan berulangan di Selat Hormuz dijangka berterusan. Berikutan itu, minyak mentah Brent berkemungkinan kekal pada paras US$80 hingga US$90 setong bagi tempoh yang agak lama.
“Malaysia juga sebenarnya adalah penerima bersih manfaat daripada harga minyak di paras itu,” katanya.
Ahli strategi pasaran global itu juga menjangkakan Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencecah paras 1,900 menjelang akhir 2026.
Ringgit pula dijangkakan diniagakan dalam julat RM3.85 hingga RM4.10 berbanding dolar AS dengan kemungkinan mencecah paras RM4.14 hingga RM4.15.
Mengulas prospek aliran masuk dana atau modal ke dalam Malaysia, Jha berkata terdapat aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang kukuh ke dalam sektor seperti kecerdasan buatan (AI), logistik serta pusat data.
“Secara asasnya, aliran masuk modal asing yang kita lihat bagi pasaran bon dan ekuiti kekal baik. Memang ada juga aliran keluar di sana sini, tetapi bukanlah sesuatu yang cukup signifikan dan boleh mencetuskan kebimbangan,” katanya.
Jha juga menjangkakan pasaran bon Malaysia kekal stabil dengan pulangan hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun sekitar empat peratus.
Menyentuh dasar monetari, beliau berkata Bank Negara Malaysia (BNM) juga bertindak tepat apabila mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dan menjangkakan bank pusat itu akan terus mengekalkannya bagi tempoh berbaki tahun ini.
Bagi prospek global, Jha menjangkakan langkah pelarasan kewangan dalam masa beberapa minggu lagi dan berkemungkinan menjelang akhir Ogos ini.
Selain itu, beliau mengunjurkan Purata Perindustrian Dow Jones merosot kira-kira 10 peratus manakala dolar AS mengukuh ketara dan hasil bon kerajaan AS bagi 10 tahun akan meningkat dalam julat 4.8 peratus hingga 5.0 peratus.
-- BERNAMA