Life Water Beli 90 Peratus Pegangan Dalam Hung Tai Group Pada Harga RM46.8 Juta
KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Life Water Bhd, pengeluar minuman berpangkalan di Sabah, memeterai perjanjian penjualan saham (SSA) untuk membeli 90 peratus kepentingan ekuiti dalam Hung Tai Group pada harga RM46.8 juta
Hung Tai Group terdiri daripada tiga syarikat berpangkalan di Sabah iaitu Hung On Thong Mini Supermarket Sdn Bhd (HOTMS), Hung Tai Enterprise (Sabah) Sdn Bhd (HTE) dan Kilang Mee Ban Soon Sdn Bhd (KMBS).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Life Water menyatakan cadangan pembelian itu melibatkan sejumlah 463,918 saham HTE, 309,279 saham KMBS dan 154,640 saham HOTMS, yang secara kolektif mewakili 90 peratus pegangan ekuiti.
"Jika tiada berlakunya keadaan yang di luar jangka dan tertakluk kepada pemenuhan semua syarat yang dinyatakan dalam perjanjian, cadangan pembelian itu dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan dari tarikh SSA.
"Apabila cadangan pembelian itu selesai mengikut terma dan syarat SSA, HOTMS, HTE dan KMBS akan menjadi anak syarikat milik 90 peratus Life Water," tambahnya.
Menurut Life Water, cadangan pembelian saham itu dijangka memperkukuh kedudukan kumpulan untuk sektor produk pengguna dengan memperluas kehadirannya dalam rantaian nilai makanan, melangkaui perniagaan air botol sedia ada.
Kumpulan turut memaklumkan perniagaan yang dibeli itu bakal memberikan sumbangan segera kepada pendapatan melalui operasi mereka yang kukuh dan rekod prestasi yang terbukti, di samping membolehkan sinergi operasi termasuk kecekapan logistik, perolehan, pengedaran dan pentadbiran yang lebih baik.
"Secara keseluruhan, cadangan pembelian itu dijangka mempercepat prospek pertumbuhan jangka panjang Life Water dalam sektor produk pengguna," tambahnya lagi.
Sementara itu, Pengarah Urusan Life Water Liaw Hen Kong berkata cadangan pembelian berkenaan menandakan permulaan ke arah membangunkan platform pengguna yang lebih luas dengan menggabungkan kekuatan saling melengkapi, mempertingkat keupayaan kumpulan, serta meletakkannya dalam kedudukan yang baik untuk pertumbuhan jangka panjang yang mampan.
"Kami teruja dengan peluang yang menanti di hadapan apabila kumpulan yang diperbesar ini memanfaatkan gabungan kekuatan itu untuk mempertingkat integrasi operasi, memperluas capaian pasaran dan membuka peluang jualan silang dalam portfolio produk pengguna yang lebih luas," katanya.
-- BERNAMA