BERITA TERKINI   Kerajaan akan memperkenalkan Geran Sejahtera MADANI RM200 juta, bantu penjaja, peniaga pasar malam dan ibu yang meniaga dari rumah - PM Anwar | Kemudahan pembiayaan mikro akan ditambah RM1 bilion, menjadikan keseluruhan dana bagi 2026 meningkat kepada RM6 bilion - PM Anwar | Kerajaan bersetuju menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun - PM Anwar | MCMC akan sediakan RM1 bilion perkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam - PM Anwar | Program AI Untuk Rakyat untuk 100,000 belia berumur 18 hingga 30 tahun, terima langganan aplikasi AI secara percuma selama tiga bulan - PM Anwar | 

DRB-Hicom Kaji Buka Kilang Pemasangan Kenderaan Proton, Modenas Di Algeria - Duta

Oleh Shakir Husain

HYDERABAD, 15 Julai (Bernama) -- Konglomerat Malaysia, DRB-Hicom Bhd, sedang mengkaji kemungkinan menubuhkan kilang pemasangan kenderaan di Algeria bagi meneroka peluang pengembangan ke dalam pasaran automotif di Afrika Utara, menurut Duta Besar Malaysia ke Algeria Datuk Rizany Irwan Muhamad Mazlan.

Cadangan itu akan menyokong usaha Malaysia untuk membangunkan kerjasama perindustrian dengan Algeria dan selaras dengan inisiatif kerajaan negara itu bagi menggalakkan kenderaan pemasangan tempatan, katanya kepada Bernama.

Ad Banner

Pengurusan tertinggi DRB-Hicom termasuk perwakilan daripada jenama kumpulan itu seperti Proton dan Modenas, baru-baru ini telah mengadakan perbincangan dengan pegawai Algeria berhubung rancangan projek perniagaan mereka.

"Tujuan utama lawatan itu adalah untuk membuat penilaian pasaran, meneroka peluang kerjasama perindustrian serta mendapatkan gambaran mendalam mengenai rangka kerja kawal selia dan cukai industri di Algeria.

"DRB-Hicom telah bersetuju menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi kilang pemasangan tempatan dan Proton pula bersedia untuk menyokong pemindahan teknologi serta latihan kemahiran kepada kakitangan Algeria," katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ketua Setiausaha Kementerian Perindustrian Algeria, Kheireddine Benaissa berkata pihaknya menekankan dasar mesra perniagaan semasa pertemuan dengan delegasi Malaysia.

Beliau menjelaskan Algeria menawarkan pengecualian cukai selama 10 tahun sepanjang tempoh pelaksanaan projek dan pengecualian cukai keuntungan korporat selama lima tahun selepas bermulanya beroperasi, dengan syarat ia terikat kepada 30 peratus kadar integrasi tempatan dalam tempoh lima tahun.

Rizany Irwan berkata Ketua Pengarah Agensi Penggalakan Pelaburan Algeria Omar Rekkache mengalu-alukan potensi penglibatan kereta Proton dan motosikal Modenas ke negara itu serta berjanji untuk menyokong syarikat-syarikat Malaysia sepanjang proses pelaburan.

"Fokus Algeria terhadap pembuatan automotif domestik menawarkan peluang yang luar biasa untuk jenama-jenama Malaysia.

"Mereka juga akan mendapat akses yang menguntungkan ke pasaran serantau melalui perjanjian perdagangan bebas Algeria," katanya.

Dalam kalangan penglibatan pihak sektor swasta dengan DRB-Hicom, syarikat pengedar kenderaan Algeria, Sodivem, menyatakan minat untuk menubuhkan usaha sama dengan Modenas.

Selain itu, LaBelle Group dan DRB-Hicom turut membincangkan idea kerjasama untuk projek motosikal Modenas bagi memenuhi pasaran domestik serta menerokai peluang eksport ke pasaran Afrika Barat.

Pengurusan tertinggi LaBelle dijangka melawat kilang Modenas di Malaysia dalam masa terdekat.

Automotive Plant Algeria, pemain utama dalam industri itu dan barisan eksekutif Malaysia turut membincangkan cadangan untuk menggunakan infrastruktur sedia ada milik syarikat Algeria berkenaan di wilayah Oran, barat laut Algeria bagi pelan pemasangan tempatan kereta Proton.

-- BERNAMA