BERITA TERKINI   Kerajaan akan memperkenalkan Geran Sejahtera MADANI RM200 juta, bantu penjaja, peniaga pasar malam dan ibu yang meniaga dari rumah - PM Anwar | Kemudahan pembiayaan mikro akan ditambah RM1 bilion, menjadikan keseluruhan dana bagi 2026 meningkat kepada RM6 bilion - PM Anwar | Kerajaan bersetuju menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun - PM Anwar | MCMC akan sediakan RM1 bilion perkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam - PM Anwar | Program AI Untuk Rakyat untuk 100,000 belia berumur 18 hingga 30 tahun, terima langganan aplikasi AI secara percuma selama tiga bulan - PM Anwar | 

Siti Asiah Dilantik Ketua Perangkawan

PUTRAJAYA, 15 Julai (Bernama) -- Timbalan Ketua Perangkawan (Program Ekonomi), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Siti Asiah Ahmad dilantik sebagai Ketua Perangkawan berkuat kuasa hari ini.

Kementerian Ekonomi dalam kenyataan hari ini memaklumkan Siti Asiah, 51, mempunyai hampir 28 tahun pengalaman dalam bidang statistik ekonomi dan sosial, transformasi digital serta pembangunan dasar berasaskan bukti.

Beliau menggantikan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin yang bersara selepas 36 tahun berkhidmat.

Ad Banner

Sebagai Ketua Perangkawan, Siti Asiah bertanggungjawab menerajui penyediaan statistik utama negara, termasuk Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), perdagangan luar negeri serta statistik industri dan perkhidmatan.

"Sepanjang perkhidmatan, beliau terlibat dalam pelbagai inisiatif strategik negara, termasuk pembangunan Pangkalan Data Utama, penyediaan statistik kos sara hidup dan pengukuhan Sistem Statistik Negara.

"Kepakaran beliau turut diiktiraf menerusi penglibatan dalam kumpulan kerja statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, ASEAN dan organisasi antarabangsa berkaitan," menurut kenyataan itu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Siti Asiah memiliki Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Ekonomi daripada Universiti Putra Malaysia serta Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat daripada Universiti Teknologi Malaysia.

Sementara itu, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir dalam kenyataan sama berkata pelantikan Siti Asiah mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap pengalaman, kepakaran dan rekod perkhidmatan beliau untuk menerajui DOSM.

"Dalam persekitaran ekonomi yang semakin kompleks, statistik rasmi perlu lebih pantas, tepat dan boleh dipercayai supaya kerajaan dapat bertindak lebih awal serta menyasarkan intervensi dengan lebih berkesan," katanya.

Selain Siti Asiah, Kementerian Ekonomi memaklumkan Norhayati Jantan dilantik sebagai Timbalan Ketua Perangkawan (Sosial dan Pembangunan Teknikal), manakala Wan Mohd Shahrulnizam Wan Mohd Najuri dilantik sebagai Timbalan Ketua Perangkawan (Ekonomi).

"Kementerian Ekonomi merakamkan ucapan tahniah dan yakin barisan kepimpinan baharu ini akan terus memperkukuh kredibiliti statistik rasmi negara serta menyokong perancangan pembangunan yang lebih tepat, telus dan berasaskan bukti," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA