Niaga Hadapan MSM Melemah Susulan Lonjakan Dalam Bekalan Minyak Sawit
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup kebanyakannya rendah hari ini susulan kebimbangan terhadap lonjakan dalam pengeluaran dan inventori minyak sawit di Malaysia.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata data terkini Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan keadaan bekalan bertambah baik, memacu jangkaan bekalan yang mencukupi tetapi akan menekan harga MSM ke bawah. “Kami melihat harga disokong melebihi RM4,500 satu tan dan rintangan pada RM4,650,” katanya kepada Bernama.
Menurut MPOB, simpanan minyak sawit Malaysia meningkat kepada 2.54 juta tan metrik pada Jun 2026 berbanding 2.43 juta tan metrik yang dicatatkan semasa Mei lepas, manakala pengeluaran MSM menokok kepada 1.64 juta tan metrik daripada 1.52 juta tan metrik.
Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group dari Mumbai, Anilkumar Bagani berkata prospek permintaan biodiesel dan harga minyak kacang soya yang dinyahgum Amerika Selatan (CDSBO) yang lebih lemah turut mempengaruhi sentimen pasaran. Ketiadaan peruntukan biodiesel B50 Indonesia yang berpanjangan, ditambah dengan penguatkuasaan semula Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), terus menjejaskan harga minyak sawit.
Pada penutupan, kontrak bulan semerta Julai 2026 menambah RM5 kepada RM4,520 satu tan, manakala Ogos 2026 meningkat RM1 kepada RM4,530 dan September 2026 susut RM4 kepada RM4,569.
Oktober 2026 merosot RM7 kepada RM4,601 satu tan, November 2026 jatuh sebanyak RM9 kepada RM4,632 dan Disember 2026 turun RM6 kepada RM4,665.
Jumlah dagangan susut kepada 88,773 lot berbanding 108,836 lot yang catatkan pada Selasa, manakala kepentingan terbuka melemah kepada 285,543 kontrak daripada 286,418 kontrak sebelum ini.
Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan menokok sebanyak RM10 kepada RM4,530 satu tan.
-- BERNAMA