Pelaburan KWAP Dalam eFishery Terjejas Akibat Penipuan Terancang, Pemulihan Dana Sedang Diuruskan - MOF
KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam eFishery merupakan satu penipuan terancang, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
MOF memaklumkan bahawa terdapat manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan syarikat tersebut.
“Susulan perkembangan tersebut, konsortium pelabur termasuk KWAP telah mengambil langkah tegas dari segi tindakan undang undang, pemulihan dana, semakan tatakelola dalaman dan juga pengukuhan kawalan.
“Ini termasuk tindakan undang-undang dan pemulihan dana,” demikian menurut MOF dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
MOF menjawab pertanyaan Wong Chen (PH-Subang) mengenai tindakan diambil kementerian itu terhadap ahli Lembaga Pengarah, Panel Pelaburan dan pengurusan tertinggi KWAP berhubung kelulusan dan pemantauan pelaburan dalam eFishery yang mengakibatkan kerugian besar melibatkan dana persaraan penjawat awam.
Menurut MOF, konsortium pelabur termasuk KWAP, melalui pihak syarikat eFishery, telah membuat laporan kepada pihak berkuasa berkaitan dan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.
“Konsortium pelabur termasuk KWAP juga sedang meneruskan usaha sedaya upaya dalam proses pemulihan dana pelaburan,” katanya.
MOF memaklumkan KWAP juga telah melaksanakan semakan menyeluruh terhadap proses penilaian, kelulusan dan pemantauan pelaburan berkenaan.
“Hasil semakan tersebut telah dibentangkan kepada Lembaga KWAP untuk penelitian dan perbincangan terperinci.
“Susulan perbincangan tersebut, tindakan susulan telah diambil selaras dengan rangka kerja tadbir urus dan prinsip akauntabiliti institusi,” katanya.
MOF menjelaskan KWAP mempunyai rangka kerja tadbir urus pelaburan yang kukuh dan telus.
“Semua pelaburan termasuk pelaburan langsung dalam pasaran swasta melalui proses penilaian, kelulusan dan pemantauan yang menyeluruh selaras dengan dasar dan mandat pelaburan KWAP,” katanya.
Menurut MOF, proses tersebut merangkumi penilaian dalaman, usaha wajar bebas serta penelitian terhadap aspek kewangan, perundangan dan operasi sebelum cadangan pelaburan diluluskan.
“Dalam pelaburan eFishery, keputusan yang dibuat telah melalui proses penilaian dan proses tadbir urus seperti yang dinyatakan berdasarkan maklumat tersedia yang merangkumi pengesahan penyata kewangan daripada juruaudit antarabangsa bertauliah.
“Pada masa yang sama, konsortium pelabur termasuk KWAP juga telah melaksanakan usaha wajar bebas untuk memastikan semua maklumat adalah lengkap dan sahih untuk pertimbangan pelaburan,” katanya.
Pelaburan dalam eFishery turut disertai beberapa pelabur institusi dan dana teknologi antarabangsa terkemuka termasuk Temasek, SoftBank, 42XFund dan NorthStar yang turut mempunyai proses penilaian, kawalan dan tadbir urus pelaburan bertaraf antarabangsa.
MOF menegaskan bahawa KWAP kekal komited untuk mengurus dana persaraan penjawat awam secara telus, berintegriti dan berakauntabiliti.
“Langkah penambahbaikan telah dilaksanakan bertujuan memperkukuh perlindungan terhadap kepentingan pelaburan akan datang,” menurut MOF.
Bulan lepas, dilaporkan bahawa eFishery, sebuah syarikat pemula dari Indonesia, telah menggantung tugas Ketua Pegawai Eksekutif, Gibran Huzaifah dan Ketua Pegawai Produknya, Chrisna Aditya sementara menunggu siasatan terhadap dakwaan penyelewengan kewangan dalam syarikat itu.
Gibran dan Chrisna, masing-masing memegang kira-kira sembilan peratus saham syarikat itu.
Selasa lalu, Bloomberg melaporkan bahawa siasatan awal yang sedang dijalankan terhadap syarikat pemula agriteknologi itu menganggarkan syarikat tersebut mungkin telah melaporkan hasil pendapatan yang lebih tinggi hampir US$600 juta dalam tempoh sembilan bulan hingga September tahun lepas.
Siasatan yang diarahkan oleh lembaga pengarah syarikat itu turut mendapati syarikat pemula tersebut telah membentangkan keuntungan sebanyak US$16 juta kepada pelabur bagi tempoh sembilan bulan pertama 2024 yang sebenarnya mencatatkan kerugian sebanyak US$35.4 juta.
eFishery diasaskan bersama oleh Gibran dan Chrisna pada 2013 dan telah berkembang sehingga mencapai penilaian sebanyak US$1.4 bilion.
Pada 2023, syarikat itu dilaporkan memperoleh US$200 juta daripada pusingan Series D Funding, menjadikannya unicorn terbaharu Indonesia.
Daripada jumlah itu, sebanyak US$47.7 juta (RM200 juta) adalah daripada KWAP, menurut DealStreetAsia.
Jumlah itu adalah sebagai tambahan kepada pelaburan daripada pihak lain seperti SoftBank Group Corp dari Jepun, Temasek dari Singapura dan pemegang saham terbesar eFishery, Aqua-Spark.
-- BERNAMA