Cawangan Pertama ST Rosyam Mart Di Johor Akan Dibuka Menjelang September
JOHOR BAHRU, 16 Julai (Bernama) – Rangkaian pasar raya borong dan runcit halal ST Rosyam Mart akan membuka cawangan pertamanya di Johor menjelang 12 Sept, menandakan pengembangannya ke wilayah selatan dan mengukuhkan sektor peruncitan negeri itu.
Sri Ternak Group melalui satu kenyataan berkata pasar raya yang terletak di Paragon Market Place, Tampoi itu akan menjadi cawangan ke-10 syarikat tersebut di seluruh negara, meliputi kira-kira 70,000 kaki persegi selain menjadi cawangan ST Rosyam Mart terbesar setakat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Sri Ternak Datuk Raymond Ho Cheng Hann berkata cawangan baharu itu mencerminkan pengembangan strategik syarikat ke Johor, yang menawarkan potensi pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan pasaran pengguna yang semakin melonjak.
Pasar raya itu dijangka menyediakan akses yang lebih luas produk berharga kompetitif kepada pengguna sambil menarik pembeli dari Singapura melalui konsep runcit halal “24 jam”.
“Kami berharap dapat membawa nilai dan kemudahan yang lebih besar kepada rakyat Johor apabila operasi bermula September ini,” katanya pada majlis prapelancaran di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah ST Rosyam Mart Datuk Rosyam Nor berkata syarikat itu juga telah melancarkan inisiatif “Misi Menawan Tampoi” untuk melibatkan masyarakat setempat menjelang pembukaan rasmi pasar raya itu.
Beliau berkata inisiatif itu termasuk program penglibatan komuniti dan pelancaran siri web janaan kecerdasan buatan 11 episod, “Misi Untuk Rakyat,” dengan tayangan akhir akan ditontonkan semasa pembukaan besar nanti.
Pada majlis yang sama, syarikat itu turut mengumumkan kempen “Stamp & Menang 2.0”, ia menawarkan hadiah bernilai RM1 juta seperti kondominium, kereta dan ganjaran lain, untuk pelanggan yang membelanjakan minimum RM300 di mana-mana cawangan Sri Ternak atau ST Rosyam Mart.
Pasar raya baharu itu akan menawarkan hasil segar, daging, makanan laut, barangan runcit, keperluan isi rumah dan pembelian pukal pada harga borong, di samping lebih daripada 20 perkhidmatan pelanggan secara percuma.
-- BERNAMA