Stok Petroleum : Malaysia Perlu Laksanakan Pendekatan Fiskal Berhemat, Berperingkat
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Hasrat Malaysia mewujudkan stok simpanan petroleum negara perlu berlandaskan pendekatan fiskal berhemat dan dilaksanakan secara berperingkat, kata ahli ekonomi.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata ini penting bagi memastikan inisiatif itu dapat mengukuhkan daya tahan tenaga jangka panjang negara tanpa memberi tekanan tidak wajar terhadap kewangan awam.
Beliau turut mengingatkan agar kerajaan mengelak daripada menggunapakai pendekatan model simpanan petroleum strategik besar-besaran oleh negara-negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan Jepun berikutan profil kapasiti fiskal dan risiko tenaga Malaysia yang berbeza.
“Persoalan utama bukannya sama ada Malaysia perlukan simpanan yang besar, tetapi pada paras mana yang dianggap sebagai munasabah berdasarkan profil kapasiti fiskal serta risiko tenaga.
“Sebarang pelaburan berkaitan juga perlu (disaring) melalui penilaian kos dan faedah menyeluruh berikutan sumber awam yang terhad ketika keutamaan lain seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan jaminan bekalan makanan juga perlukan pembiayaan,” katanya kepada Bernama.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengenai hasrat kerajaan mengkaji keperluan serta strategi bagi mewujudkan stok simpanan petroleum negara demi menjamin keterjaminan tenaga serta memperkukuh daya tahan Malaysia dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan krisis bekalan global.
Mohd Sedek turut menekankan kos ekonomi akibat tiada persiapan menghadapi gangguan bekalan besar-besaran akan jauh mengatasi pelaburan awal yang diperlukan bagi mewujudkan stok simpanan petroleum sewajarnya.
“Saya sendiri lebih menyokong pendekatan secara fiskal berhemat dan dilaksanakan secara berperingkat.
“Mereka perlu meneliti saiz stok simpanan yang optimum, model pembiayaan serta strategi pelaksanakan dan pada masa menyepadukannya ke dalam rangka kerja keterjaminan ekonomi yang meluas.
“Matlamatnya bukan bertujuan mewujudkan simpanan yang terbesar, tetapi paling pintar serta cekap kos,” katanya.
Beliau berpendapat, keutamaan segera kerajaan adalah melaksanakan penilaian risiko komprehensif bagi menentukan saiz stok simpanan yang optimum, model pembiayaan dan kerangka operasi sebelum memulakan pembangunan infrastruktur fizikal.
Mohd Sedek berkata kalangan penggubal dasar juga perlu menilai kerjasama dengan sektor swasta dan memastikan sebarang simpanan itu berpotensi untuk diperluas, berdaya maju secara komersial serta aspek fiskal yang mampan.
“Hanya selepas dapat mewujudkan kewajaran ekonomi yang jelas barulah kerajaan boleh berganjak ke arah pelaksanaan secara berperingkat,” katanya.
-- BERNAMA