Bioeconomy Corporation Bantu Firma Sarawak Tembus Pasaran Global
KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia (Bioeconomy Corporation) memudah cara kerjasama bagi membantu syarikat berasaskan bio dari Sarawak menembusi pasaran serantau dan antarabangsa menerusi BIO Asia-Taiwan 2026.
Dalam kenyataan hari ini, Bioeconomy Corporation memaklumkan inisiatif itu memperkukuh kerjasama strategik melibatkan syarikat bio berasaskan Sarawak menerusi jalinan kolaborasi perniagaan serta mengetengahkan inovasi bio lestari kepada pelabur serantau, peneraju industri dan rakan kongsi berpotensi.
"Antara pencapaian utama ialah kerjasama antara Fly Technology Agriculture Sdn Bhd (FTA) dan Monster Biotech Co Ltd dari Taiwan bernilai kira-kira RM1 juta setahun.
"Kerjasama itu melibatkan pembelian dan pembekalan jangka panjang bahan ramuan makanan ternakan berasaskan lalat askar hitam (BSF) serta baja bio frass BSF, sekali gus membuka peluang eksport baharu untuk Sarawak dan mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai peneraju pembangunan mampan," menurutnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata kerjasama berkenaan akan menyediakan akses kepada teknologi termaju, pasaran baharu serta jaringan global bagi memperkukuh ekosistem bioekonomi Sarawak.
"Ini membolehkan perusahaan tempatan berasaskan bio seperti FTA, selain komuniti luar bandar, mengambil bahagian dalam peluang ekonomi bernilai tinggi.
"Pada masa sama, ia menyokong aspirasi Sarawak untuk menjadi model global pembangunan mampan menerusi pemacuan peluang komersial berasaskan inovasi bio yang menjana nilai sosioekonomi jangka panjang untuk Malaysia, Taiwan dan rantau Asia," menurutnya.
Pengarah Urusan FTA Ts Jeff Wee berkata kerjasama itu turut meneroka penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran dan keupayaan operasi industri BSF pada masa hadapan.
"Pengintegrasian teknologi AI akan memperkukuh lagi keupayaan pengeluaran kami, di samping membolehkan komuniti luar bandar menyertai industri BSF yang lebih cekap, inovatif dan mampan.
"Kami menghargai sokongan Bioeconomy Corporation dalam memudah cara kerjasama antarabangsa ini yang membuka peluang baharu kepada FTA untuk memperluas pasaran serta meningkatkan keupayaan syarikat," katanya.
Potensi bioekonomi Sarawak turut diketengahkan menerusi penyertaan BioVerde Technologies Sdn Bhd (BVT) sebagai pempamer dan penceramah pada Forum Kerjasama Serantau Malaysia sempena BIO Asia-Taiwan 2026.
Mohd Khairul berkata penyertaan BVT membuktikan keupayaan Sarawak dalam memanfaatkan kekayaan biodiversiti serta kepakaran saintifik bagi menghasilkan produk dan industri berasaskan bio bernilai tinggi.
Menurut beliau, perkara itu menyerlahkan potensi Sarawak dalam memacu pertumbuhan ekonomi hijau dan pembangunan industri mampan melalui kerjasama strategik antarabangsa.
BIO Asia-Taiwan 2026 merupakan antara persidangan bioteknologi utama di rantau Asia Pasifik yang menghimpunkan pemimpin industri, pelabur, penyelidik dan penggubal dasar bagi memperkukuh kerjasama antarabangsa serta meneroka peluang perniagaan.
Persidangan itu berlangsung dari 15 hingga 19 Julai 2026 di Pusat Pameran Nangang, Taipei.
-- BERNAMA