Pemecahan Geoekonomi Dorong Malaysia Nilai Semula Keterjaminan Tenaga -- Pakar
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Langkah Malaysia untuk mengkaji penubuhan rizab petroleum negara mencerminkan peralihan yang lebih menyeluruh dalam dasar nasional, menurut pakar.
Ini memandangkan peningkatan risiko geoekonomi mendorong setiap negara memberi penekanan yang lebih besar terhadap keterjaminan tenaga seiring dengan daya tahan ekonomi.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sidek Jantan berkata, cadangan itu dikemukakan pada masa yang tepat ketika ekonomi global memasuki fasa baharu pemecahan geoekonomi apabila keterjaminan ekonomi kini menjadi sama pentingnya dengan kecekapan ekonomi.
Beliau memberitahu perkembangan terkini yang merangkumi konflik di Asia Barat sehinggalah kepada sekatan perdagangan dan kawalan teknologi dalam kalangan kuasa besar membuktikan rantaian bekalan global tidak lagi boleh dipandang mudah.
"Malaysia tidak semestinya lewat dalam mempertimbangkan rizab petroleum strategik.
"Sebaliknya, negara kini berpeluang untuk merangka rangka kerja yang lebih berpandangan ke hadapan yang mencerminkan realiti geopolitik hari ini, berbanding sekadar meniru model yang dibangunkan selepas krisis minyak era 1970-an," katanya kepada Bernama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menyatakan kerajaan akan mengkaji keperluan dan strategi bagi menubuhkan rizab petroleum negara sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keterjaminan tenaga dan daya tahan negara terhadap ketidaktentuan geopolitik serta krisis bekalan global.
Mohd Sedek berkata kajian itu harus dilihat sebagai satu langkah pengurusan risiko nasional jangka panjang dan bukannya sekadar tindak balas terhadap ketegangan geopolitik semasa.
Katanya, kelemahan strategik pada masa hadapan mungkin melangkaui petroleum kepada mineral kritikal, semikonduktor, unsur nadir bumi serta sumber strategik yang lain.
"Oleh itu, rangka kerja tersebut perlu kekal fleksibel. Ketidaktentuan dasar pada masa ini mungkin tertumpu kepada perkembangan di Washington, namun risiko geoekonomi pada masa hadapan boleh berpunca daripada mana-mana negara yang menguasai rantaian bekalan kritikal, komoditi strategik atau laluan perdagangan global.
"Strategi Malaysia harus berasaskan prinsip dan boleh disesuaikan bagi melindungi kepentingan nasional tanpa mengira dari mana punca gangguan seterusnya berlaku," tambah beliau.
Sementara itu, Geostrategis Malaysia yang juga Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Dr Azmi Hassan berkata konflik terkini di Asia Barat terutamanya yang melibatkan Iran, menekankan keperluan untuk Malaysia mewujudkan strategi rizab petroleum negara bagi memastikan bekalan bahan api tidak terputus semasa krisis pada masa hadapan.
Beliau berkata walaupun Petronas menguruskan bekalan petroleum domestik dengan berkesan, Malaysia tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada syarikat minyak nasional itu sebaliknya perlu membangunkan satu strategi nasional yang menyeluruh bagi memperkukuh keterjaminan tenaga.
"Kita memerlukan strategi nasional dalam kes khusus ini supaya kita mempunyai bekalan tenaga petroleum yang tidak terputus walaupun rantaian bekalan global terganggu," katanya.
Azmi berkata inisiatif itu akan melengkapkan mekanisme subsidi bahan api sedia ada di Malaysia dengan memperkukuh kebolehpercayaan bekalan sekali gus membolehkan kerajaan menguruskan ketersediaan bahan api domestik dengan lebih berkesan ketika berlakunya gangguan global yang berpanjangan.
Pakar perang siber yang juga Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata penubuhan rizab petroleum strategik juga boleh memperkukuh kedudukan geopolitik Malaysia dalam kalangan negara ASEAN.
Katanya, ia akan meletakkan negara ini sebagai model serantau bagi keterjaminan tenaga dan kesiapsiagaan krisis.
Beliau berkata simpanan domestik yang kukuh akan meningkatkan keupayaan Malaysia untuk bertindak balas terhadap gangguan bekalan serantau.
Selain itu, katanya ia memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab maritim dan ekonomi strategik yang mampu menyokong perancangan luar jangka serantau serta memantapkan daya tahan rantaian bekalan.
-- BERNAMA