BERITA TERKINI   ASEAN terima kemasukan Turkiye sebagai Rakan Dialog yang baharu - Mohamad Hasan | 63,475 pasport Malaysia versi baharu dikeluarkan setakat 17 Julai - KP Imigresen | BN kekal dalam Kerajaan Perpaduan selaras resolusi PAU, semua pihak diminta hormati keputusan badan tertinggi - Ahmad Zahid | Kedudukan pasport ketiga paling berkuasa bukti keyakinan dunia terhadap Malaysia - Saifuddin Nasution | KDN sasar JIM kutip hasil lebih RM5 bilion tahun ini - Saifuddin Nasution | 

AmBank Jangka Pertumbuhan KDNK Suku Kedua Kukuh, Tingkatkan Unjuran 2026 Kepada 4.8 Peratus

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- AmBank (M) Bhd menjangka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2026 berkembang 5.6 peratus, disokong oleh penggunaan swasta yang didorong oleh perbelanjaan musim perayaan sepanjang suku itu serta pelaburan swasta yang kekal stabil.

Ketua Ahli Ekonomi AmBank Firdaos Rosli berkata sejajar dengan jangkaan itu, bank berkenaan telah menyemak naik unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2026 kepada 4.8 peratus daripada 4.5 peratus sebelum ini.

Unjuran itu berada pada had tertinggi julat pertumbuhan 4.0 hingga 5.0 peratus yang diunjurkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Ad Banner

Beliau ketika berucap pada taklimat media bertajuk “2HFY2026 Outlook: Resilient Growth, Rising Fractures” di sini hari ini berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka terus disokong oleh langkah fiskal yang membantu mengekalkan penggunaan isi rumah.

Menurutnya pembangunan infrastruktur berserta kitaran meningkat pelaburan global yang dipacu kecerdasan buatan (AI) dan telah mengukuhkan eksport sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta pelaburan berkaitan teknologi maklumat, akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Firdaos berkata walaupun terdapat jangkaan inflasi yang lebih rendah dan penyusutan jumlah dagangan semasa tempoh krisis, Malaysia tidak mengalami kedua-dua keadaan itu pada separuh pertama 2026.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Eksport terus berkembang dengan stabil manakala aktiviti perdagangan global kekal positif walaupun berlaku peperangan di Asia Barat.

"Bagi menjelaskan keadaan sebenar, perdagangan global sememangnya telah berada dalam aliran meningkat apabila ekonomi utama dunia bersaing untuk menguasai teknologi," katanya.

Beliau berkata sebulan sebelum tercetusnya peperangan di Asia Barat, import dan eksport global telah mencatat pertumbuhan dua angka, dan trend itu berterusan sejak Disember 2025.

"Kami menjangka perdagangan terus berdaya tahan walaupun perang berlanjutan pada separuh kedua 2026.

“Faktor utama adalah kekuatan berterusan perdagangan berkaitan teknologi terutama semikonduktor apabila pelaburan dalam infrastruktur AI terus menyokong permintaan rentas sempadan," katanya.

Memetik satu laporan, Firdaos berkata Statistik Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) mengunjurkan pertumbuhan besar-besaran sebanyak 90 peratus tahun ke tahun, bernilai US$1.51 trilion, yang akan meningkatkan perdagangan global pada 2026.

Bagaimanapun beliau berkata walaupun unjuran pertumbuhan telah disemak naik, kadar pertumbuhan tahunan masih dijangka sederhana berbanding 5.2 peratus pada 2025.

"Unjuran kami menggabungkan pertumbuhan yang lebih sederhana pada separuh kedua 2026 memandangkan kesan kenaikan harga komoditi secara beransur-ansur mempengaruhi ekonomi global.

"Risiko luaran juga masih cenderung ke arah penurunan, dengan ketidaktentuan yang berterusan walaupun perjanjian damai antara Amerika Syarikat dan Iran telah dimeterai," katanya.

-- BERNAMA