TIV Automotif 2026 Malaysia Berada Pada 790,000 Unit - Kenanga IB
KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) mengunjurkan jumlah volum industri (TIV) untuk industri automotif Malaysia mencecah 790,000 unit pada tahun kalendar 2026.
Ini mewakili penurunan sederhana empat peratus dari tahun ke tahun dan sejajar dengan jangkaan Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
Kenanga IB berkata harga bahan api, yang telah mula menurun berikutan rundingan ke arah perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran tetapi keadaan masih terdedah kepada ketidaktentuan geopolitik yang berterusan di Asia Barat serta gangguan kepada trafik penghantaran melalui Selat Hormuz.
“Bagaimanapun, ini memberi impak minimum kepada jumlah jualan kenderaan domestik kerana pasaran Malaysia kekal dilindungi oleh subsidi RON95 yang berharga RM1.99 seliter di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), walaupun kuota dikurangkan sebanyak 200 liter sebulan.
“Menurut kerajaan, 90 peratus rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Bank pelaburan itu menjangkakan kitaran penggantian baharu akan semakin memihak kepada kenderaan elektrik (EV), yang bahagiannya telah bertambah dengan ketara sejak beberapa tahun kepada enam peratus daripada jumlah TIV bawah satu peratus, lima tahun lalu.
"EV juga dijangka menyumbang 10 peratus daripada TIV menjelang 2027 apabila pembuat kereta meningkatkan pengeluaran tempatan EV dan hibrid (termasuk EV hibrid plug-in), di samping peralihan ke arah motosikal, bergantung kepada potensi pemansuhan subsidi," katanya.
Sementara itu, pengumuman kerajaan untuk menurunkan harga diesel bersubsidi baru-baru ini dijangka memberi manfaat kepada segmen kenderaan komersial (CV), khususnya sub-segmen trak pikap gaya hidup, yang terjejas akibat pelaksanaan subsidi diesel bersasar pada Jun 2024.
Namun begitu, bahagian pasaran CV kekal kecil iaitu enam peratus daripada jumlah TIV berbanding 11 peratus seperti yang dicatatkan pada lima tahun lepas.
Mulai 1 Julai 2026, harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia yang layak di seluruh negara akan turun kepada RM2.10 seliter, dengan mekanisme dan kriteria kelayakan sejajar dengan program BUDI MADANI.
-- BERNAMA