BERITA TERKINI   Ahmad Irfan Che Moh dari Bernama Radio raih emas kategori Lintas Langsung Berita Radio Terbaik pada HKM MPI-Petronas 2025 | Siti Hashmarr Mohd Hashim, Nurul Shuhadah Armawan & Muhammad Arif Che Soh raih emas kategori Bicarawara Radio Terbaik pada HKM MPI-Petronas 2025 | Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi dari Bernama Radio raih emas kategori Lintas Langsung Berita Radio Terbaik pada HKM MPI-Petronas 2025 | Wartawan penyiaran Bernama Radio Nurliyana Farhah Ruslan raih emas kategori Laporan Radio Terbaik pada HKM MPI-Petronas 2025 | Bernama meraih 11 anugerah termasuk tiga emas Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2025 | 

KDNK Suku Kedua Berkembang 5.8 Peratus, Bukti Ekonomi Malaysia Kekal Kukuh - Akmal Nasrullah

CYBERJAYA, 17 Julai (Bernama) -- Ekonomi Malaysia kekal kukuh, dengan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi laporan Anggaran Awal KDNK suku kedua 2026 hari ini menunjukkan pertumbuhan 5.8 peratus.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata angka itu lebih tinggi berbanding 5.4 peratus yang direkodkan pada suku pertama tahun ini, sekali gus membuktikan aktiviti ekonomi negara terus berkembang walaupun menghadapi cabaran tekanan geopolitik.

"Dari segi angka, sudah pasti kita menyambut baik apabila pertumbuhan itu mencatatkan 5.8 peratus berbanding 5.4 peratus pada suku pertama. Apabila kita tengok, pertumbuhan ekonomi itu berdasarkan asas daripada yang lepas. Jadi, sebab itu menunjukkan (ekonomi) masih kuat atau kukuh.

Ad Banner

“Pada masa sama, ia (anggaran awal) itu juga memberi gambaran intervensi yang kita lakukan dapat meredakan kebimbangan atau gangguan yang sangat ketara dari segi kegiatan ekonomi," katanya pada sidang media selepas sesi Libat Urus Ekosistem Pemula Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU): Suara, Visi dan Aspirasi di sini hari ini. 

Dalam laporan Anggaran Awal KDNK bagi Suku Kedua 2026 hari ini, DOSM mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua 2026 selepas mencatatkan pertumbuhan 5.4 peratus pada suku tahun sebelumnya.

DOSM memaklumkan prestasi itu disokong oleh pertumbuhan dalam hampir semua sektor ekonomi kecuali sektor pertanian yang mencatatkan penguncupan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Akmal Nasrullah berkata pencapaian tersebut turut mencerminkan keberkesanan intervensi kerajaan dalam mengurus impak ketegangan di Asia Barat yang memberi tekanan kepada bekalan minyak, harga serta potensi gangguan bekalan input.

Beliau berkata sejak awal berlakunya konflik, kerajaan sentiasa menilai perkembangan situasi melalui Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang diadakan secara mingguan.

Antara keputusan utama MTEN adalah memastikan bekalan minyak negara tidak terjejas, mengurus harga supaya tidak membebankan rakyat dan melaksanakan intervensi bagi mengelakkan penutupan mana-mana industri akibat gangguan bekalan input, katanya.

"Alhamdulillah, sehingga hari ini tidak berlaku putus bekalan pada peringkat negara. Dari segi harga kita perlu menguruskannya dan memastikan tidak membebankan rakyat secara terlalu ketara. 

"Kita juga melihat intervensi untuk mengelakkan berlakunya penutupan mana-mana industri kerana gangguan bekalan input. Perkara itu kita berjaya atasi untuk kesan yang lebih ketara," katanya.

Akmal Nasrullah mengingatkan semua pihak supaya tidak berasa terlalu selesa dengan pertumbuhan KDNK suku kedua yang memberangsangkan memandangkan konflik berkenaan masih belum menunjukkan tanda-tanda pengakhiran yang jelas.

"Kita tahu konflik itu belum ada tanda-tanda pengakhiran yang jelas. Ketegangan itu boleh berlaku pada bila-bila masa dan boleh memuncak dalam keadaan yang begitu pantas. 

"Maka sebab itu kita perlu terus berwaspada dengan apa-apa cabaran yang boleh berlaku," katanya.

Akmal Nasrullah juga menekankan kepentingan memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, khususnya usahawan kecil dan bumiputera.

"Memang di peringkat tertinggi, dari segi pertumbuhan ekonomi kita perlu terus kekalkan momentum kerana pertumbuhan ekonomi akan terus memberi keyakinan dan akan terus mengembangkan lagi potensi yang ada. 

"Bagaimanapun pada masa yang sama, ruang itu perlu juga dilihat dari segi cara untuk peluang dan manfaat itu dapat dinikmati atau dimanfaatkan bersama oleh peniaga-peniaga kecil atau usahawan," katanya.

-- BERNAMA