BERITA TERKINI   Manifesto PH Negeri Sembilan mampu dilaksana, bukan sekadar janji politik - Aminuddin | 

LSS6 Bakal Manfaat RM13 Bilion-RM15 Bilion Dalam Pelaburan Swasta- Kenanga IB

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Program Solar Skala Besar Pusingan Keenam (LSS6) yang baharu dilancarkan dijangka akan memanfaatkan pelaburan swasta antara RM13 bilion dan RM15 bilion, memandangkan kuota tender telah ditingkatkan kepada 2.65 gigawatts (GW) daripada 2.0 GW sebelumnya. 

Menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) dalam satu nota penyelidikan, ia melibatkan keamatan pelaburan bercampur sebanyak RM4.9 juta hingga RM5.7 juta setiap megawatt (MW) kapasiti solar, termasuk sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS). 

Jelas bank itu, ia secara ketaranya lebih tinggi berbanding penanda aras konvensional iaitu RM3 juta setiap MW bagi pembangunan solar berskala utiliti, berikutan kos tambahan yang berkaitan sel bateri, sistem pertukaran kuasa dan pengurusan tenaga serta integrasi grid. 

Ad Banner

“Memandangkan landskap modal yang besar, kami menjangkakan tarif LSS6 akan kekal kompetitif, disokong oleh ekonomi skala perolehan pukal,” katanya. 

Kenanga IB menambah bahawa LSS6 dijangka memacu jumlah kontrak mutlak yang lebih tinggi dan bukannya meningkatkan margin keuntungan bersih untuk pemaju projek dan kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaaan dan pentauliahan (EPCC) di tengah-tengah tekanan harga yang berterusan. 

Menurutnya, penyertaan BESS akan meningkatkan keperluan perolehan awal dan kerumitan projek, memandangkan pembangunan LSS biasanya memerlukan kontraktor membiayai kos perolehan peralatan dan pembinaan sebelum pembayaran penting. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Oleh itu, kontraktor EPCC dengan lembaran imbangan yang kukuh dan keupayaan pelaksanaan yang sudah terbukti seharusnya mempunyai peluang yang lebih baik untuk mendapatkan pakej yang lebih mencabar dari segi teknikal ini. 

“Dengan andaian proses tender mengambil masa selama enam bulan, kami menjangkakan aliran kontrak EPCC LSS6 yang lebih bermakna akan berlaku dari suku kedua 2027 dan seterusnya, dengan sumbangan pendapatan meningkat secara progresif sehingga 2028,” katanya.

Selain EPCC solar, Kenanga IB turut melihat peluang yang kukuh bagi kontraktor infrastruktur elektrik khusus, memandangkan projek solar berserta penyimpanan tenaga yang besar akan memerlukan kemudahan sambungan grid yang besar, pencawang dan kerja-kerja kejuruteraan voltan tinggi. 

“Walaupun nilai kontrak dan keamatan pelaburan dijangka meningkat dengan ketara di bawah LSS6, kami mengambil keputusan untuk tidak melaraskan penilaian sektor dan ramalan pendapatan korporat kami pada ketika ini.

“Oleh itu, kami akan mengekalkan pendirian ‘berlebihan’ kami terhadap sektor ini,” tambahnya. 

-- BERNAMA