BERITA TERKINI   KDN serah urusan berkaitan kedudukan Ketua Pengarah AKPS kepada KSU KDN dan KSN – Saifuddin Nasution | JPN keluarkan 275,785 MyKad generasi baharu setakat 20 Okt , Johor tertinggi sebanyak 31,392 kad - Saifuddin Nasution | Generasi tahfiz perlu kuasai, cipta teknologi masa depan - TPM Ahmad Zahid | Pendidikan tahfiz perlu lahirkan ilmuwan, pemimpin masa depan – Ahmad Zahid | Adinda Sultan Terengganu,Tengku Baderul Zaman mangkat pada 1.20 pagi tadi di Kuala Lumpur - Dato’ Pengelola Bijaya Diraja | 

Searah Malaysia Ambil Alih Kontrak Perkongsian Pengeluaran Daripada Petronas Carigali

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Searah (Malaysia) Sdn Bhd, entiti pengendali Searah Ltd di Malaysia telah mengambil alih kendalian kontrak perkongsian pengeluaran utama di Malaysia daripada Petronas Carigali Sdn Bhd berkuat kuasa 1 Julai 2026, selepas memenuhi semua syarat duluan.

Searah (Malaysia) melalui satu kenyataan hari ini berkata kejayaan dalam peralihan itu akan meletakkan Searah (Malaysia) sebagai pengendali lima aset huluan utama, membentuk sebahagian daripada portfolio serantau Searah Ltd yang lebih luas iaitu sebanyak 19 aset di Malaysia dan Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutif Searah (Malaysia), Mohd Johan Ariff Mohd Supian berkata permulaan operasi tersebut mencerminkan perancangan, penyepaduan dan kerjasama yang berdedikasi yang telah dilaksanakan beberapa bulan sebelum ini.

Ad Banner

“Ketika kami bergerak ke hadapan, tumpuan kami kekal untuk beroperasi dengan selamat dan boleh dipercayai, mewujudkan nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingan kami selain membina asas yang kukuh ke arah pertumbuhan masa depan Searah,” katanya.

Searah Ltd merupakan usaha sama 50:50 antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Eni, menghimpunkan aset pengeluaran dan pembangunan gas huluan terpilih di seluruh Malaysia dan Indonesia.

Di Malaysia, Searah beroperasi melalui Searah (Malaysia), yang menguruskan aset huluan terpilih di Semenanjung Malaysia dan Sarawak termasuk menyokong pembangunan berterusan dalam sektor tenaga negara.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

-- BERNAMA