Ringgit Ditutup Rendah Susulan Perkembangan Di Asia Barat Jejas Sentimen
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada hari terakhir dagangan minggu ini berikutan perkembangan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat sekali gus menjejaskan sentimen pasaran.
Keadaan itu berlaku walaupun Malaysia mencatat anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2026 yang lebih tinggi berbanding jangkaan.
Pada 6 petang, unit tempatan susut kepada 4.0930/0990 berbanding dolar AS daripada 4.0710/0745 semasa ditutup pada Khamis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata anggaran awal KDNK Malaysia bagi suku kedua 2026 berkembang 5.8 peratus berbanding jangkaan konsensus pasaran sebanyak 5.3 peratus.
"Pertumbuhan yang lebih kukuh menunjukkan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan walaupun menghadapi ketidaktentuan harga bahan api dan dasar perdagangan bersifat perlindungan yang dilaksanakan Amerika Syarikat.
"Dengan purata pertumbuhan KDNK sebanyak 5.6 peratus pada separuh pertama 2026, Malaysia dijangka terus mencatat pertumbuhan sekitar lima peratus bagi keseluruhan tahun ini," katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan hari ini, ringgit turut diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.
Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.5018/5099 daripada 5.4987/5034 pada Khamis, menyusut berbanding euro kepada 4.6824/6893 daripada 4.6678/6718 dan rendah berbanding yen Jepun kepada 2.5208/5246 daripada 2.5102/5125 sebelum ini.
Mata wang tempatan juga ditutup rendah berbanding mata wang serantau.
Ringgit menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.1709/1758 daripada 3.1583/1612 dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 228.4/228.8 daripada 226.3/226.6 semasa ditutup pada Khamis.
Unit tempatan turut menyusut berbanding baht Thailand kepada 12.1743/1965 daripada 12.1247/1399 serta rendah berbanding peso Filipina kepada 6.64/6.66 daripada 6.60/6.61 semalam.
-- BERNAMA