BERITA TERKINI   Sweden, Poland, Romania dan Lithuania diterima menjadi anggota baharu Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) - Mohamad Hasan  | ASEAN terima United Kingdom sebagai negara anggota Forum Serantau ASEAN (ARF) yang baharu- Mohamad Hasan | ASEAN terima kemasukan Turkiye sebagai Rakan Dialog yang baharu - Mohamad Hasan | 63,475 pasport Malaysia versi baharu dikeluarkan setakat 17 Julai - KP Imigresen | BN kekal dalam Kerajaan Perpaduan selaras resolusi PAU, semua pihak diminta hormati keputusan badan tertinggi - Ahmad Zahid | 

Ringgit Dijangka Diniagakan Pada RM4.06-RM4.08 Minggu Depan

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan dalam julat RM4.06-RM4.08 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan di tengah-tengah sentimen pasaran yang kekal berhati-hati selain faktor ketidaktentuan geopolitik yang berpanjangan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sentimen pasaran berkaitan dengan jadual atau kalendar ekonomi AS yang secara amnya ‘sunyi’ daripada aktiviti utama yang boleh menjadi pemangkin.

Ad Banner

“Bagaimanapun, People's Bank of China dijadualkan mengumumkan kadar pinjaman utama terkini pada 20 Julai manakala Bank Pusat Eropah mengumumkan keputusan dasar monetarinya pada 23 Julai,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata peserta pasaran akan turut memantau rapat perkembangan geopolitik di Asia Barat serta kesannya terhadap harga minyak mentah.

“Setakat ini, harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) dan Brent kekal tinggi, sekali gus membayangkan tekanan inflasi berkemungkinan berlanjutan pada Julai,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bagi perbandingan Jumaat ke Jumaat, prestasi ringgit susut kepada 4.0930/0990 berbanding dolar AS daripada 4.0695/0745 pada minggu sebelumnya.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama pada minggu ini.

Berbanding yen Jepun, ringgit susut kepada 2.5208/5246 daripada 2.5148/5181, rendah berbanding euro kepada 4.6824/6893 daripada 4.6502/6559 serta turun berbanding pound Britain kepada 5.5018/5099 daripada 5.4572/4639 pada minggu sebelumnya.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN,

Ini termasuk susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1709/1758 daripada 3.1520/1561, rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 228.4/228.8 daripada 225.2/225.6 serta turun berbanding peso Filipina kepada 6.64/6.66 daripada 6.61/6.62 pada Jumaat lepas.

Namun ringgit mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.1743/1965 daripada 12.2101/2302 pada minggu sebelumnya.

-- BERNAMA