Pasaran Getah Malaysia Dijangka Lengang Minggu Depan Susulan Cuaca Tidak Menentu
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur dijangka diniagakan lengang minggu depan, dengan permintaan mungkin didorong terutamanya oleh aktiviti pembelian bagi menambah semula stok susulan bekalan yang tidak menentu akibat faktor cuaca.
Pakar industri Denis Low berkata hujan lebat di beberapa kawasan pengeluar getah adalah di luar kebiasaan bagi tempoh ini, yang lazimnya mengalami cuaca panas dan kering, sekali gus menggambarkan pola cuaca yang semakin tidak menentu akibat perubahan iklim.
"Selain hujan yang berlaku sekali-sekala, kesemua faktor lain menyokong pengeluaran getah, dan pasaran mula menunjukkan kestabilan. Bagaimanapun, serangan pengeboman berlaku semula.
"Sehubungan itu, kami menjangka pasaran getah kekal lengang minggu depan, dengan permintaan sebahagian besarnya didorong oleh aktiviti pembelian bagi menambah semula stok. Harga dan permintaan dijangka terus lemah, dengan kecenderungan menurun sedikit," katanya kepada Bernama.
Low berkata penggiat pasaran akan terus memantau ketidaktentuan ekonomi global, perdagangan antarabangsa, perkembangan geopolitik, harga minyak mentah dan pergerakan dolar AS, yang kesemuanya berpotensi mempengaruhi harga komoditi.
Sementara itu, Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menjangka pasaran getah terus bergerak dalam julat kecil minggu depan, disokong pengeluaran getah asli yang meningkat ketika kemuncak musim penorehan getah di negara-negara pengeluar utama.
Bagaimanapun, menurut persatuan itu pasaran dijangka berdepan gangguan baharu dalam rantaian bekalan melibatkan bahan mentah utama berasaskan petrokimia yang digunakan oleh industri itu.
Menurutnya serangan baharu Amerika Syarikat ke atas Iran terus menimbulkan risiko terhadap bekalan minyak di Asia Barat, yang boleh menjejaskan sentimen pasaran.
Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia atau SMR 20 meningkat 4.5 sen kepada 887 sen sekilogram manakala susu getah pukal menyusut 7.5 sen kepada 722 sen sekilogram.
-- BERNAMA