KWSP, Fahmi Bincang Peluang Kerjasama Perkasa Literasi Kewangan, Persaraan
KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil baru-baru ini, membincangkan peluang kerjasama strategik yang lebih erat dalam memperkasakan literasi kewangan dan persaraan.
Kunjungan hormat yang diketuai oleh Pengerusi KWSP Tan Sri Mohd Zuki Ali turut memberi tumpuan kepada meningkatkan pemahaman awam serta memperluas akses kepada maklumat yang jelas, tepat dan boleh dipercayai.
“Perbincangan turut meneroka ruang kerjasama antara KWSP dan Kementerian Komunikasi dalam menyokong persediaan persaraan dan kesejahteraan kewangan yang lebih baik untuk ahli dan masyarakat,” menurut KWSP dalam catatan di LinkedIn.
Kunjungan itu mendapat sambutan mesra daripada pihak menteri dan mereka telah mengadakan perbincangan yang bermakna dengan kedua-dua pihak berharap dapat meneruskan kerjasama tersebut, menurut KWSP.
-- BERNAMA