Fujifilm Sasar M&A, Kerjasama Bagi Perluas Perniagaan Penyelesaian Di Malaysia
Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Fujifilm Business Innovation Corp sedang mencari peluang untuk memperluas segmen penyelesaian perniagaannya di Malaysia melalui usaha niaga baharu, usaha sama serta penggabungan dan pengambilalihan (M&A) seiring dengan peningkatan pelaksanaan transformasi digital dalam kalangan perniagaan di negara ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Naoki Hama berkata syarikat yang berpangkalan di Jepun itu melihat Malaysia sebagai pasaran yang strategik dan penting dalam rangkaian Asia Pasifiknya serta menjangka perniagaan penyelesaian akan terus berkembang selaras dengan usaha pendigitalan negara.
“Kami sedang melihat cara untuk kami dapat memanfaatkan ekosistem sedia ada dalam menyediakan penyelesaian kepada pelanggan kami. Walaupun kami tidak mempunyai rancangan untuk mendirikan kilang, Malaysia telah menjadi hab perkhidmatan perkongsian serantau Fujifilm di Asia Pasifik sejak 21 tahun lepas.
“Kami menyediakan sokongan teknikal, sokongan pelanggan dan sokongan operasi untuk rantau ini, bermula dari Australia dan New Zealand hingga Asia dan Korea, tidak termasuk China, semuanya dari Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Mengenai pecahan pendapatan perniagaannya di Malaysia, Hama berkata peralatan pejabat tradisional terus menyumbang bahagian terbesar kepada perniagaannya walaupun segmen penyelesaian dan perkhidmatan telah meningkat kepada kira-kira 30 peratus dan terus berkembang.
Beliau berkata Malaysia secara berperingkat menuju kepada paras yang dilihat dalam pasaran lebih maju di rantau ini, apabila penyelesaian digital menyumbang bahagian pendapatan yang jauh lebih besar.
“Di Singapura dan Hong Kong, kadar pendapatan penyelesaian hampir atau lebih daripada 50 peratus. Di negara seperti Vietnam dan Filipina, bukan perniagaan penyelesaian yang berkembang tetapi perniagaan pencetak pelbagai fungsi tradisional.
“Bagi Malaysia, sama seperti Jepun, keuntungan yang tinggi masih dijana daripada bahagian perkakasan tetapi perniagaan penyelesaian berkembang pesat,” katanya.
Hama menyifatkan permintaan meningkat terhadap penyelesaian adalah daripada transformasi digital yang pesat selepas pandemik COVID-19, disokong oleh inisiatif kerajaan dan peningkatan kesedaran dalam kalangan perniagaan Malaysia mengenai keperluan untuk mendigitalkan operasi mereka.
“Malaysia mempunyai asas ekonomi yang stabil dan terus berkembang. Sejak COVID-19, keadaan telah berubah. Kerajaan telah memperkenalkan dasar untuk menggalakkan transformasi digital dan kami turut menerima banyak permintaan daripada syarikat Malaysia.
“Saya mendapati syarikat semakin menyedari mengenai keperluan untuk mengambil langkah ke arah tersebut dan mereka mendapatkan sokongan daripada kami.
“Dengan ekonomi dan politik yang stabil serta kumpulan tenaga kerja berkemahiran tinggi, Malaysia merupakan lokasi yang ideal untuk perniagaan seperti pusat data,” katanya.
Ditanya sama ada landskap geopolitik global semasa telah mempengaruhi strategi syarikat untuk pasaran Malaysia, Hama berkata risiko geopolitik Malaysia yang agak rendah mengukuhkan lagi tarikannya sebagai destinasi pelaburan.
Beliau berkata Malaysia tidak mempunyai kecenderungan atau pakatan yang kuat dengan mana-mana negara tertentu, mengekalkan hubungan diplomatik yang stabil dengan negara-negara di seluruh dunia dan secara amnya dilihat sebagai pasaran yang berkecuali dari segi politik.
“Kemungkinan risiko geopolitik di Malaysia adalah agak rendah dan itu ternyata antara faktor yang menjadikan negara ini menarik kepada kami,” katanya.
Malaysia telah menjadi hab perkhidmatan perkongsian serantau Fujifilm Business Innovation di Asia Pasifik selama lebih dua dekad, menyokong pasaran di Australia, New Zealand, Asia Tenggara dan Korea, tidak termasuk China, selain menjadi antara pasaran pertumbuhan utama syarikat untuk penyelesaian digital.
Meraikan ulang tahun ke-60 di Malaysia tahun ini, Fujifilm Business Innovation Malaysia terus memperluas portfolio transformasi digitalnya, menawarkan automasi aliran kerja, pengurusan dokumen, pengecaman aksara optik berasaskan model bahasa besar, perkhidmatan IT, keselamatan siber dan perkhidmatan terurus untuk membantu organisasi meningkatkan produktiviti dan memacu pendigitalan.
-- BERNAMA