BERITA TERKINI   Tragedi Tanjung Lompat: Mayat Muhammad Adib Hafiy Kamal ditemukan pada 11.15  pagi - polis | MAG Culinary Solutions perluas keupayaan penyediaan makanan dalam penerbangan dengan kemudahan baharu dijangka siap pada suku keempat 2028 - Kapten Nasaruddin | Malaysia Airlines sambung semula penerbangan ke Busan mulai Disember 2026, Firefly perkenal penerbangan terus ke Kunming - Kapten Nasaruddin | Kementerian Ekonomi teliti persiapan tangani negara menua dalam Belanjawan 2027 -- Akmal Nasrullah | Serian catatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) 518 iaitu tahap bahaya setakat 10 pagi ini- portal APIMS | 
Ad Banner

Syarikat China Mingyang Sasar Perluas Peranan Dalam Peralihan Tenaga Malaysia

Daripada Samantha Tan Chiew Tieng

GUANGZHOU, 4 Sept (Bernama) -- Gergasi tenaga bersih China, Mingyang Smart Energy Group Co Ltd, menyasar untuk memperluas penglibatannya di Malaysia dalam tenaga angin luar pesisir, solar, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) dan hidrogen, sejajar dengan aspirasi negara di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Penolong Presidennya yang juga Pengurus Besar Pusat Perniagaan Pemasaran Antarabangsa, Mark Lou, berkata Mingyang, yang telah mengendalikan kemudahan pembuatan peralatan elektrik di Malaysia bagi membekalkan keperluan projek penyimpanan tenaga, melihat hala tuju dasar yang jelas di bawah NETR sebagai asas penting untuk memperluas kerjasama dalam penyahkarbonan dan keselamatan tenaga.

Ad Banner

Beliau berkata syarikat itu optimis terhadap prospek tenaga hijau Malaysia dan mahu menyumbangkan keupayaan teknologinya bagi menyokong peralihan tenaga negara.

“Saya fikir adalah sesuatu yang baik apabila kerajaan mempunyai dasar dan hala tuju yang sangat jelas untuk mewujudkan serta menjamin keselamatan tenaga dalam jangka panjang.

“Kami mahu menyumbang sepanjang perjalanan ke arah penyahkarbonan tenaga. Saya percaya kami mempunyai keupayaan serta visi yang kukuh untuk membangunkan produk di Malaysia,” katanya kepada Bernama ketika lawatan ke syarikat itu di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Lou berkata kilang sedia ada Mingyang di Klang kini mengeluarkan produk elektrik, dengan sebahagian besar keluarannya menyokong projek penyimpanan tenaga.

Walaupun Malaysia mungkin mempunyai potensi yang agak terhad dalam tenaga angin darat, beliau berkata prospek tenaga angin luar pesisir menawarkan satu lagi ruang berpotensi untuk pembangunan pada masa hadapan.

Beliau berkata Pengerusi Mingyang Zhang Chuanwei turut bertukar pandangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pembangunan tenaga bersih pada Persidangan GBA-ASEAN Mengenai Peralihan dan Integrasi Tenaga pada Julai lalu.

Lou berkata syarikat itu berharap dapat meneruskan libat urus dengan kerajaan Malaysia serta pihak berkuasa tenaga berkaitan bagi meneroka bagaimana Mingyang boleh menyumbang kepada usaha negara memperkukuh keselamatan tenaga, mengurangkan pelepasan karbon dan mencapai sasaran sifar bersih.

Mingyang turut melihat ruang untuk memperluas kerjasama sedia ada dengan Malaysia dalam bidang tenaga angin, solar dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), melibatkan pihak berkepentingan kerajaan serta pemaju tenaga.

Sementara itu, Pengarah Pengurusan Pemasaran Antarabangsa Mingyang, Amy Deng, berkata Sarawak mempunyai potensi kukuh untuk pembangunan tenaga boleh baharu secara bersepadu, berikutan asas tenaga hidro yang telah mantap serta aspirasi kerajaan negeri untuk membangunkan tenaga hijau seiring dengan rantaian bekalan tempatan.

Beliau berkata keupayaan Mingyang bukan sekadar membekalkan peralatan seperti turbin angin dan elektroliser, malah merangkumi rantaian nilai bersepadu daripada penjanaan tenaga boleh baharu kepada pengeluaran hidrogen dan penggunaan tempatan.

“Sarawak mempunyai asas yang sangat kukuh dalam tenaga hidro, yang merupakan sumber tenaga yang sangat baik,” katanya sambil menambah bahawa sumber maritim Malaysia turut berpotensi membuka peluang pembangunan ladang angin yang boleh diintegrasikan dengan pengeluaran hidrogen pada masa hadapan.

“Saya fikir kita boleh meneroka lebih banyak bentuk kerjasama, seperti membangunkan ladang angin yang dihubungkan dengan pengeluaran hidrogen dan berpotensi menggunakan hidrogen itu untuk menghasilkan produk seperti metanol atau ammonia.

“Ia mengenai pembangunan keseluruhan rantaian bekalan,” katanya.

Deng berkata inovasi teknologi kekal sebagai antara kekuatan daya saing Mingyang di peringkat antarabangsa, khususnya dalam bidang tenaga angin luar pesisir, termasuk teknologi turbin tahan taufan dan tenaga angin luar pesisir terapung.

Selain Malaysia, syarikat itu turut mengembangkan perniagaan tenaga baharunya di rantau Asia Pasifik, Eropah, benua Amerika, Asia Barat dan Afrika, dengan tumpuan kepada tenaga angin, solar, penyimpanan tenaga dan hidrogen.

Lawatan itu diadakan bersempena Forum Media Asia Pasifik (APMF) yang dianjurkan oleh Agensi Berita Xinhua bersama rakan kerjasamanya.

APMF akan dibuka secara rasmi di Shenzhen pada Sabtu dengan tema “Building a Path to Shared Prosperity for the Asia-Pacific Community: Media Consensus and Action”.

Forum itu diadakan sempena Tahun APEC China 2026, menjelang Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-33 yang akan berlangsung di Shenzhen pada 18 dan 19 November.

-- BERNAMA