Eksport Malaysia Lepasi Nilai RM200 Bilion Buat Kali Pertama, Naik 54.5 Peratus Pada September
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Eksport Malaysia melepasi nilai RM200 bilion buat kali pertama pada September, melonjak 54.5 peratus tahun ke tahun kepada rekod RM215.11 bilion, mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak April 2021.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan pencapaian itu merupakan sebahagian daripada perkembangan lebih meluas dalam perdagangan luar Malaysia, dengan jumlah perdagangan meningkat 53.7 peratus tahun ke tahun kepada RM396.5 bilion, manakala import naik 52.7 peratus kepada RM181.39 bilion, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Malaysia turut mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM33.72 bilion pada September, meneruskan rekod lebihan dagangan selama 77 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.
"Momentum perdagangan positif yang dicatatkan dari Januari hingga September 2026 adalah sejajar dengan prospek yang menggalakkan untuk perdagangan luar dan pertumbuhan ekonomi negara.
“Menurut Tinjauan Ekonomi 2027 Kementerian Kewangan (MoF), jumlah perdagangan diunjurkan berkembang 27.2 peratus pada 2026, dengan eksport meningkat 31 peratus dan import naik 23.1 peratus,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Bagi tempoh Januari hingga September 2026, MITI memaklumkan prestasi perdagangan negara mencatatkan pencapaian baharu, dengan jumlah perdagangan meningkat 30.1 peratus tahun ke tahun kepada RM2.91 trilion, manakala eksport berkembang 34 peratus kepada RM1.57 trilion.
Sementara itu, import meningkat 25.7 peratus kepada RM1.34 trilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM232.38 bilion, iaitu peningkatan 115.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Menurut MITI, Malaysia turut mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan di pasaran eksport utamanya, dengan eksport ke ASEAN meningkat 46.2 peratus kepada nilai tertinggi pernah direkodkan sebanyak RM59.55 bilion.
Eksport ke Amerika Syarikat (AS) pula melonjak 89.9 peratus kepada RM38.03 bilion, manakala eksport ke Taiwan meningkat lebih dua kali ganda kepada RM21.45 bilion, iaitu kenaikan 175.2 peratus dan nilai eksport bulanan tertinggi pernah direkodkan bagi pasaran itu.
Perdagangan dengan rakan kongsi Malaysia dalam perjanjian perdagangan bebas (FTA) turut mencatatkan peningkatan, dengan jumlah perdagangan melonjak 53.1 peratus tahun ke tahun kepada RM261.73 bilion pada September, manakala eksport meningkat 42 peratus kepada RM130.78 bilion.
Di tengah-tengah perubahan dasar perdagangan dalam kalangan ekonomi utama dan ketegangan geopolitik, MITI memaklumkan kementerian itu dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan terus menilai perkembangan global, memperkukuh kepelbagaian pasaran, memperluas akses ke pasaran yang mencatatkan pertumbuhan tinggi dan membantu pengeksport Malaysia menyesuaikan diri dengan keadaan perdagangan yang berubah.
-- BERNAMA