CIMB Jangka Bank Indonesia Naikkan Kadar Faedah Minggu Ini
Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil
JAKARTA, 19 Okt (Bernama) -- CIMB Treasury and Market Research menjangkakan Bank Indonesia (BI) akan menaikkan kadar faedah penanda arasnya minggu ini, lebih awal daripada unjuran sebelum ini pada Disember.
Ini berikutan tekanan yang semakin meningkat terhadap mata wang rupiah dan risiko aliran keluar modal yang lebih tinggi susulan cadangan MSCI untuk mengklasifikasikan semula pasaran ekuiti Indonesia.
CIMB dalam nota penyelidikannya mengunjurkan kenaikan kadar faedah sebanyak 25 mata asas (bps) pada 21 Okt, memandangkan nilai rupiah susut melepasi paras 18,000 berbanding dolar AS susulan aliran akaun kewangan yang tidak menentu.
"Sentimen lemah merentas pelbagai kelas aset, harga tenaga yang tinggi dan risiko fiskal yang baharu, ditambah pula dengan keadaan kewangan global yang semakin ketat, mungkin memerlukan satu lagi kenaikan 25 bps pada November, sekali gus meningkatkan unjuran kami bagi kadar faedah dasar BI kepada 6.25 peratus menjelang akhir 2026," menurut nota itu yang dikeluarkan pada Isnin.
Unjuran itu susulan aktiviti penjualan besar-besaran di Bursa Saham Indonesia (IDX) pada Jumaat yang mencetuskan urus niaga digantung selama 30 minit selepas Indeks Komposit Jakarta (IHSG) merosot lebih lapan peratus pada awal dagangan. Indeks itu akhirnya ditutup pada paras 5,185.10, jatuh 11.57 peratus.
Keadaan ini berlaku selepas penyedia indeks global MSCI bercadang mengelaskan semula Indonesia daripada status Pasaran Pesat Membangun kepada Pasaran Berdiri Sendiri, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan aliran keluar modal asing.
CIMB menganggarkan cadangan itu sekiranya dilaksanakan boleh mencetuskan aliran keluar dana ekuiti pasif bernilai US$2 bilion hingga US$3 bilion, dengan penjualan oleh dana aktif berpotensi memburukkan lagi kesannya. (US$1 = RM4.08)
“Berikutan kejatuhan IHSG sebanyak 11.6 peratus pada 16 Okt, kelemahan di pasaran ekuiti boleh berterusan selama satu hingga tiga bulan,” tambah nota itu sambil memberi amaran mengenai risiko yang lebih meluas, termasuk kelewatan dalam komitmen pelaburan langsung asing (FDI) dan aliran keluar modal yang kembali meningkat daripada aset-aset domestik lain.
Ia turut memberi amaran sentimen pelabur yang semakin lemah, harga minyak yang tinggi, risiko inflasi dan fiskal yang kembali meningkat serta keadaan monetari global yang semakin ketat berkemungkinan mengehadkan aliran masuk pelaburan asing ke dalam bon kerajaan Indonesia.
Mengenai rupiah, CIMB memaklumkan rizab pertukaran asing yang semakin susut mengehadkan keupayaan BI untuk menyerap kejutan luaran melalui campur tangan pasaran semata-mata. Rizab pertukaran asing bersih (selepas pelarasan) merosot US$18.2 bilion pada separuh pertama 2026, berbanding penurunan US$11 bilion dalam rizab kasar.
“Pada paras US$114 bilion pada Ogos, rizab bersih kini menghampiri paras terendah US$108 bilion yang dicatatkan pada 2018,” tambah CIMB sambil merujuk kepada rizab yang diselaraskan berdasarkan obligasi jangka pendek dan kedudukan bersih jualan kontrak hadapan mata wang asing.
Menurut CIMB, langkah pengetatan dasar monetari yang lebih awal tidak boleh diketepikan, sambil memaklumkan BI sebelum ini telah menaikkan kadar faedah sebanyak 100 mata asas secara kumulatif pada Mei dan Jun.
-- BERNAMA