KL20: Pelaburan Syarikat Pemula Cecah RM202.64 Bilion Sejak 2024 – Akmal Nasrullah
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Pelaburan dalam syarikat pemula sejak pelancaran inisiatif KL20 pada 2024 berjumlah kira-kira RM50 bilion, dengan pulangan pelaburan dilaporkan mencecah RM202.64 bilion, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata perkembangan itu mencerminkan kemajuan dalam usaha membangunkan ekosistem syarikat pemula niaga di Malaysia.
Sebelum ini, beliau memaklumkan bahawa Malaysia menyasarkan pelaburan modal teroka berjumlah kira-kira RM700 juta serta pertambahan antara 2,000 hingga 3,500 syarikat pemula niaga aktif menjelang 2030 menerusi pelaksanaan inisiatif KL20.
“Jadi, kita melihat perkembangan yang baik dalam usaha membangunkan ekosistem syarikat pemula niaga,” katanya kepada pemberita selepas sesi perbincangan bertajuk “From Action Plan to Activation” pada KL20 2026 di sini hari ini.
Mengulas sasaran kerajaan untuk melahirkan lima syarikat berstatus unicorn menjelang 2030, Akmal Nasrullah berkata kerajaan masih dalam proses memperkukuh ekosistem syarikat pemula.
Beliau berkata agensi berkaitan turut memainkan peranan dalam mengenal pasti dan membangunkan syarikat berpotensi pada setiap peringkat pertumbuhan.
Katanya, usaha itu merupakan proses berterusan yang memerlukan kerjasama antara agensi bagi menyokong perkembangan syarikat pemula niaga, daripada peringkat awal sehingga berupaya mencapai status unicorn.
“Kita bukan sekadar menetapkan sasaran untuk melahirkan syarikat bertaraf unicorn, tetapi juga mahu membawa perubahan kepada struktur ekonomi, khususnya melalui pewujudan pekerjaan bernilai tinggi serta peningkatan sumbangannya kepada ekonomi negara.
“Pada masa sama, aspirasi untuk melahirkan syarikat tempatan yang dikenali di peringkat global akan terus diberi perhatian,” katanya.
-- BERNAMA