BERITA TERKINI   Rang Undang-Undang Infrastruktur Digital (Pusat Data) akan digubal dan dibentang kepada Kabinet tahun depan -- Kementerian Ekonomi | Kementerian Ekonomi bentang Rangka Kerja Ekonomi Kitaran, teraju peralihan nasional daripada model ekonomi linear "guna-buang" | MTEN teliti 3 keutamaan dasar strategik pacu pertumbuhan mampan, perkukuh daya tahan ekonomi negara -- Kementerian Ekonomi | Sukan Para Asia 2026: Pelumba berbasikal trek para Zuhairie Ahmad Tarmizi rangkul emas sulung negara dalam acara ujian masa 1000m C4-5 lelaki | Sarawak bakal jadi hab serantau Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) bagi Borneo mulai tahun depan – Azalina | 

RUU Pusat Data Dibentang Kepada Kabinet Pada 2027 - Akmal Nasrullah

PUTRAJAYA, 19 Okt (Bernama) -- Kerajaan merancang menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Infrastruktur Digital (Pusat Data) untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri tahun depan bagi mengawal selia pertumbuhan industri pusat data supaya selari dengan kapasiti bekalan tenaga dan air negara.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata langkah itu juga bertujuan memastikan pelaburan dalam industri berkenaan memberi nilai tambah kepada ekonomi domestik, selain menangani kekangan utiliti dan mengelak ketidakseimbangan impak terhadap alam sekitar.

Katanya cadangan penggubalan RUU itu merupakan sebahagian daripada pelan pengawalseliaan strategik yang dipersetujui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dalam mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Ad Banner

“Persetujuan itu dicapai susulan pembentangan Hala Tuju Strategik Negara Ke Arah Pembangunan Pusat Data Lestari oleh Kementerian Digital.

“Langkah ini diambil bagi menangani kekangan utiliti, mengelak ketidakseimbangan impak alam sekitar serta memastikan pelaburan pusat data memberi limpahan ekonomi nyata kepada ekosistem digital tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akmal Nasrullah berkata MTEN turut bersetuju supaya empat kementerian peneraju bersama agensi pelaksana menerima pakai Rangka Kerja Ekonomi Kitaran (RKEK) yang dibentangkan Kementerian Ekonomi.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“MTEN bersetuju kementerian peneraju, iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bersama agensi pelaksana menerima pakai RKEK dengan struktur tadbir urus pemantauan dan penyelarasan yang bersepadu,” katanya.

Katanya rangka kerja itu bertujuan menerajui peralihan negara daripada model ekonomi linear berasaskan konsep ‘guna-buang’ kepada ekonomi kitaran yang mengoptimumkan hayat penggunaan bahan, mengurangkan pembaziran sisa dan memelihara nilai sumber.

“Dasar bersepadu ini digubal bagi mengatasi isu pelaksanaan secara berasingan merentas kementerian sebelum ini, mengelak kerugian ekonomi akibat kehilangan sumber bernilai dan menyokong aspirasi sifar bersih menjelang 2050,” katanya.

Akmal Nasrullah berkata mesyuarat turut meneliti Rangka Kerja Ketahanan Ekonomi Negara (NERF) yang dibentangkan oleh Bahagian Hal Ehwal Ekonomi, Pejabat Perdana Menteri bagi pewujudan rangka kerja ketahanan ekonomi negara sebagai tindakan jangka pangjang yang menyeluruh dalam mendepani kejutan ekonomi luaran. 

“Mesyuarat bersetuju supaya cadangan ini dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan diperincikan pada peringkat Mesyuarat Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara," katanya.

Beliau berkata MTEN turut meneliti tiga keutamaan dasar strategik bagi memacu pertumbuhan mampan serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam mendepani cabaran struktur dan ketidaktentuan ekonomi global. 

Katanya pelaksanaan dasar yang diputuskan perlu dilaksanakan secara bersepadu, khususnya bagi meningkatkan kecekapan penggunaan sumber, memastikan pelaburan pusat data memberi nilai tambah kepada ekonomi domestik dan memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi kejutan ekonomi luaran.

Akmal Nasrullah berkata kementerian sebagai sekretariat MTEN akan menyelaras dan memantau tindakan susulan bersama kementerian dan agensi pelaksana berkaitan. 

“Keutamaan kerajaan bukan sekadar pertumbuhan dan pelaburan, malah ekonomi yang lebih produktif, mampan dan berdaya tahan dengan manfaat nyata kepada rakyat dan perniagaan,” katanya.

-- BERNAMA