BERITA TERKINI   Tragedi Tanjung Lompat: Mayat Muhammad Adib Hafiy Kamal ditemukan pada 11.15  pagi - polis | MAG Culinary Solutions perluas keupayaan penyediaan makanan dalam penerbangan dengan kemudahan baharu dijangka siap pada suku keempat 2028 - Kapten Nasaruddin | Malaysia Airlines sambung semula penerbangan ke Busan mulai Disember 2026, Firefly perkenal penerbangan terus ke Kunming - Kapten Nasaruddin | Kementerian Ekonomi teliti persiapan tangani negara menua dalam Belanjawan 2027 -- Akmal Nasrullah | Serian catatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) 518 iaitu tahap bahaya setakat 10 pagi ini- portal APIMS | 
Ad Banner

Kementerian Ekonomi Teliti Persediaan Hadapi Negara Menua Dalam Belanjawan 2027

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Kerajaan menerusi Kementerian Ekonomi sedang meneliti struktur persediaan Malaysia dalam menghadapi perubahan demografi sebagai sebuah negara menua, menerusi Belanjawan 2027.

Menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata langkah itu penting bagi memastikan kelangsungan pertumbuhan ekonomi negara kekal terjamin selain aspek pemerkasaan generasi akan datang.

"Generasi anak muda perlu memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk kelangsungan ekonomi dan pertumbuhan negara (apabila menghadapi negara menua).

Ad Banner

"Bagi menyelami perkara ini, Kementerian Ekonomi meneliti struktur persiapan negara yang bukan semata-mata menguruskan warga yang menua, tetapi mempersiapkan anak-anak muda ini untuk kelangsungan kehidupan pada masa akan datang," katanya selepas merasmikan Majlis Peluncuran Junior Innovathon: Di Sini Inovasi Bermula di sini, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Akmal Nasrullah berkata bagi konteks pembangunan anak muda, Kementerian Ekonomi mahu memperluaskan lagi pendedahan golongan berkenaan kepada program-program khusus serta mengenal pasti struktur dan peluang ekonomi yang masih kurang jelas dalam kalangan mereka.

“Kita mahu buka ruang ini agar anak muda ini dapat meneroka satu atau dua segmen yang sebelum ini tidak terbuka, terutamanya dari segi pasaran dan pemilikan saham. Ini bagi membolehkan mereka mempelajari dan melangkaui satu lagi segmen atau sektor baharu," katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, beliau berkata pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga perlu diperkasa menerusi pembentukan bakat di peringkat akar umbi.

Ini termasuk memberi keutamaan bagi membolehkan kalangan bakat menerapkan keperluan kemahiran bagi yang terlibat langsung bagi industri-industri dengan pertumbuhan dan bernilai tinggi (HGHV).

Pada masa sama, kata Akmal Nasrullah, kerajaan turut memperkukuh dana bagi tujuan penyelidikan dan penciptaan.

“Aspek ini bukan hanya semata-mata untuk tujuan akademik, tetapi juga bagi tujuan pengkomersialan," katanya.

Dalam pada itu, program Junior Innovathon Musim Kedua 2026 terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang mula bersiaran pada 20 September ini, akan menampilkan 50 pasukan terbaik daripada 2,092 penyertaan dan seterusnya pemilihan juara pada 1 November 2026.

-- BERNAMA