Rizab Petroleum Perlu Jadi Sebahagian Strategi Keselamatan Ekonomi Lebih Luas - Ahli Ekonomi

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Rizab petroleum negara tidak seharusnya menjadi inisiatif tenaga yang berasingan, sebaliknya merupakan antara komponen strategi keselamatan ekonomi yang lebih luas meliputi keterjaminan makanan, mineral kritikal, semikonduktor dan infrastruktur digital, kata ahli ekonomi.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata ini kerana gangguan ekonomi pada masa depan mungkin adalah daripada pelbagai sektor strategik seperti makanan atau mineral kritikal dan bukan petroleum sahaja.

Ad Banner

“Pengajarannya ialah simpanan stok sahaja tidak mewujudkan daya tahan; ia paling berkesan apabila diintegrasikan dalam strategi keselamatan ekonomi yang lebih menyeluruh,” katanya kepada Bernama.

Beliau menegaskan bahawa kejayaan inisiatif ini tidak boleh diukur berdasarkan jumlah tong yang disimpan, sebaliknya sama ada ia dapat memperkukuh keupayaan Malaysia untuk berdepan kejutan geoekonomi pada masa depan.

Katanya daya tahan perlu meliputi pelbagai sektor dan bukan hanya petroleum.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau mengakui bahawa keselamatan tenaga perlu menjadi komponen yang lebih penting dalam strategi ekonomi jangka panjang Malaysia, namun ia tidak boleh dilihat secara berasingan.

Mohd Sedek berkata penggubal dasar perlu menyedari bahawa krisis ekonomi boleh melibatkan komponen strategik lain seperti makanan, mineral kritikal atau semikonduktor.

Bagaimanapun, usaha memperkukuh keselamatan tenaga menjadi semakin penting, katanya mengulas cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengkaji keperluan mewujudkan stok simpanan petroleum negara bagi melindungi Malaysia daripada krisis bekalan global dan konflik geopolitik.

Mohd Sedek berkata keterjaminan makanan wajar diberi keutamaan yang sama berikutan gangguan dalam bekalan makanan global memberi impak langsung terhadap inflasi, kuasa beli isi rumah dan kestabilan sosial terutamanya berdasarkan Malaysia bergantung pada import untuk beberapa produk makanan utama.

Begitu juga, katanya bekalan tenaga yang stabil penting untuk menyokong sektor pembuatan, pengangkutan dan pengeluaran perindustrian, yang meningkatkan daya tahan ekonomi terhadap kejutan luaran.

“Pengajaran lain ialah krisis seterusnya mungkin bukan daripada minyak. Ia mungkin melibatkan makanan, mineral kritikal, semikonduktor atau infrastruktur digital.

“Oleh itu, Malaysia perlu membina strategi keselamatan ekonomi bersepadu yang memperkukuh daya tahan dalam pelbagai sektor strategik berbanding memberi tumpuan kepada satu komoditi sahaja,” katanya.

Mohd Sedek juga berkata cadangan stok simpanan petroleum perlu dilihat sebagai sebahagian daripada rangka kerja pengurusan risiko negara yang lebih luas dan fleksibel untuk menangani cabaran strategik pada masa depan.

“Keutamaannya bukanlah dari segi jumlah minyak yang disimpan oleh Malaysia tetapi sama ada rizab itu membentuk sebahagian daripada rangka kerja pengurusan risiko negara yang lebih luas.

“Pertama, kerajaan perlu menentukan tujuannya dengan jelas. Rizab strategik perlu melindungi ekonomi semasa gangguan bekalan berbanding digunakan untuk mempengaruhi harga pasaran dalam tempoh jangka pendek,” katanya.

Beliau berkata, kedua, kajian itu juga perlu mewujudkan rangka kerja yang fleksibel untuk mengurus risiko strategik pada masa depan.

“Keutamaan hari ini adalah petroleum tetapi cabaran akan datang mungkin melibatkan keterjaminan makanan, mineral kritikal, semikonduktor atau sumber strategik lain.

“Matlamatnya adalah membangunkan metodologi yang boleh disesuaikan untuk mengenal pasti dan menangani kelemahan yang wujud.

“Ketiga, pelaksanaannya perlu mampan dari segi komersial dan fiskal. Keputusan mengenai saiz rizab, kaedah pembiayaan, kemudahan penyimpanan dan tadbir urus perlu berdasarkan analisis kos faedah yang teliti untuk memastikan nilai jangka panjang kepada sumber awam,” katanya.

Mohd Sedek berkata Malaysia juga boleh belajar daripada negara seperti Jepun, apabila rizab strategik disepadukan dengan rantaian bekalan yang pelbagai, logistik yang berdaya tahan dan penyelarasan awam-swasta yang kukuh.

-- BERNAMA