Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi, Menjejaki Keuntungan Di Pasaran Minyak Soya
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi hari ini, menjejaki kenaikan dalam harga minyak kacang soya dan minyak mentah, di tengah-tengah ketegangan baharu di Asia Barat, menurut seorang peniaga.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata jangkaan permintaan eksport yang lebih baik turut meningkatkan sentimen pasaran.
“Kami melihat harga disokong melebihi RM4,500 setan dan rintangan pada RM4,650 setan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group dari Mumbai, Anilkumar Bagani berkata perbincangan mengenai El-Nino yang sangat kuat telah mula mendapat tarikan sekali lagi, memacu harga minyak sawit.
“Pasaran kini menunggu data eksport minyak sawit 1 hingga15 Julai daripada Intertek Testing Services (ITS) dan AmSpec Agri Malaysia (AmSpec) termasuk laporan unjuran pengeluaran Persatuan Pengilang Minyak Sawit Semenanjung Selatan, UOB Kay Hian dan Persatuan Minyak Sawit Malaysia,” katanya.
Pada penutupan, kontrak bulan semerta Ogos 2026 meningkat RM39 kepada RM4,568 satu tan, manakala September 2026 mencatatkan kenaikan sebanyak RM43 kepada RM4,608 satu tan dan Oktober 2026 melonjak RM46 kepada RM4,643.
Kontrak November 2026 menokok RM43 kepada RM4,673 satu tan, Disember 2026 untung RM42 kepada RM4,705 dan Januari 2027 naik RM38 kepada RM4,735.
Jumlah dagangan turun kepada 57,818 lot berbanding 64,100 lot yang disaksikan semasa Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 286,708 kontrak daripada 286,716 kontrak.
Harga MSM fizikal bagi Selatan Ogos bertambah sebanyak RM40 kepada RM4,580 setan.
-- BERNAMA