BERITA TERKINI   Dewan Negara lulus Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 | Sweden, Poland, Romania dan Lithuania diterima menjadi anggota baharu Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) - Mohamad HasanĀ  | ASEAN terima United Kingdom sebagai negara anggota Forum Serantau ASEAN (ARF) yang baharu- Mohamad Hasan | ASEAN terima kemasukan Turkiye sebagai Rakan Dialog yang baharu - Mohamad Hasan | 63,475 pasport Malaysia versi baharu dikeluarkan setakat 17 Julai - KP Imigresen | 

BNM Terus Galakkan Aliran Dana Dua Hala Pasaran Kewangan Dalam Pesisir

Oleh M. Saraswathi & Karina Imran

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) akan meneruskan usaha menggalakkan aliran dana dua hala dan memperkukuh pasaran kewangan dalam pesisir Malaysia melalui liberalisasi rangka kerja dasar pertukaran asing (FEP) yang berhati-hati.

Di samping usaha itu dilaksanakan, BNM juga terus giat melindungi kestabilan kewangan dan makroekonomi negara.

Ad Banner

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata bank pusat kekal komited untuk memperkukuh kerancakan, mudah tunai dan kecekapan pasaran kewangan domestik.

Beliau berkata komitmen itu dilakukan melalui gabungan inisiatif pembangunan pasaran, penglibatan berterusan dengan peserta pasaran serta penambahbaikan dasar yang ditentukur dengan teliti, termasuk rangka kerja FEP.

Dalam temu bual eksklusif bersama Bernama, Gabenor BNM berkata Malaysia telah meliberalikan rangka kerja FEP secara progresif sejak beberapa tahun, menyediakan fleksibiliti ketara untuk pemastautin dan pelabur asing melakukan transaksi rentas sempadan dan memindahkan modal.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata pada masa sama, langkah liberalisasi itu juga mengekalkan perlindungan berhati-hati terhadap risiko pinjaman luar dan aliran modal.

“Kita meliberalkan rangka kerja FEP secara progresif sejak beberapa tahun, termasuk fleksibiliti untuk pengeksport mengurus hasil eksport masing-masing.

“Kita menerima pakai pendekatan yang terkawal, beransur-ansur dan berfasa untuk menyeimbangkan fleksibiliti yang lebih ketara untuk perniagaan dengan keperluan bagi memelihara kestabilan kewangan,” katanya.

Abdul Rasheed berkata kerangka FEP Malaysia telah dilihat sebagai semakin liberal, dengan pelabur pemastautin tanpa pinjaman domestik dalam ringgit secara amnya bebas untuk melabur di luar negara tanpa had manakala pelabur asing boleh memindahkan dana secara bebas untuk pelaburan dan pulangan masing-masing sejajar dengan norma antarabangsa.

Beliau berkata bagi pelabur pemastautin dengan pinjaman domestik dalam ringgit, BNM terus menerima pakai pendekatan memudahkan dalam menyediakan fleksibiliti untuk pelaburan luar negara.

“Contohnya, pemastautin boleh melabur di luar negara untuk tujuan produktif dengan fleksibiliti yang besar. Begitu juga, pelabur asing secara amnya bebas untuk menghantar balik atau memindahkan dana untuk tujuan yang sah,” katanya.

Langkah dasar dan rangka kerja FEP menggalakkan penghantaran balik dan penukaran pendapatan pelaburan luar negara serta telah menyumbang kepada kesan limpahan yang lebih luas kepada ekonomi Malaysia, katanya.

BNM juga menyelia pinjaman mata wang asing luar pesisir oleh pemastautin, kerana pinjaman tersebut memberi kesan kepada kedudukan hutang luar Malaysia.

Langkah itu adalah untuk memastikan peminjam mempunyai pendapatan mata wang asing yang mencukupi atau lindung nilai semula jadi yang sesuai untuk memenuhi obligasi tersebut.

“Jadi, ini sebenarnya bukan mengenai tindakan mengenakan sekatan. Sebaliknya, pendekatan yang berhati-hati untuk memastikan hutang luar Malaysia kekal terurus dan pelaburan luar negara akhirnya menjana manfaat untuk ekonomi Malaysia,” katanya.

Abdul Rasheed berkata BNM kekal terbuka untuk liberalisasi selanjutnya jika sesuai, dengan penambahbaikan masa depan kepada rangka kerja FEP terus dimaklumkan melalui usaha libat urus dengan perniagaan dan peserta pasaran.

Bank pusat telah bekerjasama dengan lebih 200 syarikat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk pengeksport dan pengimport, untuk lebih memahami cabaran operasi dan mengenal pasti bidang supaya proses sedia ada boleh diperkemas tanpa menjejaskan kestabilan kewangan.

“Syarikat dengan rekod prestasi kukuh yang layak boleh mendaftar sebagai Syarikat Pelabur Pemastautin yang Berkelayakan  (QRI) yang memberikan fleksibiliti lebih besar kepada mereka dalam mengurus dan menggunakan semula dana pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Program QRI membolehkan syarikat pemastautin yang layak yang membawa balik dan menukar perolehan mata wang asing kepada ringgit mempunyai flelksibiliti untuk menukar semula dan melabur semula dana tersebut ke luar negara dengan lancar tanpa memerlukan kelulusan terlebih dahulu daripada BNM untuk setiap transaksi.

Abdul Rasheed berkata bank pusat akan terus bekerjasama dengan peserta pasaran untuk memudahkan keperluan perniagaan yang sah di samping memastikan sebarang liberalisasi pada masa hadapan kekal konsisten dengan usaha memelihara daya tahan kewangan dan melindungi kepentingan ekonomi jangka panjang negara.

Beliau berkata aktiviti dana dua hala yang positif serta penyertaan pelabur asing dan domestik yang berterusan juga menyokong pengantaraan yang teguh bagi pasaran dalam pesisir, dengan purata perolehan pertukaran asing harian meningkat kepada US$21.4 bilion setakat Jun 2026 daripada US$19.8 bilion pada 2025 (US$1=RM4.09).

Mengenai ringgit, Abdul Rasheed berkata ringgit turun sediit berikutan konflik Asia Barat namun, unit domestik terus menjadi antara mata wang yang berprestasi lebih baik di rantau ini.

-- BERNAMA