BERITA TERKINI   PM umum sumbangan RM2 juta kepada Institut Pemikiran Al-Qaradawi | Dewan Negara lulus Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 | 

Pengeluar Pelincir Malaysia Hyrax Oil Lebar Sayap Ke Lima Pasaran Asia Tenggara

BANGKOK, 21 Julai (Bernama) -- Hyrax Oil Sdn Bhd memeterai beberapa perjanjian pada Selasa untuk mengembangkan produk cecair transformer ester Hyrax Estamol keluarannya ke pasaran Thailand, Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam.

Dalam kenyataan hari ini, pengeluar pelincir dan penebat transformer Malaysia itu memaklumkan di bawah perjanjian pengedaran, Metson Power (Thailand) Co. Ltd telah dilantik sebagai pengedar pilihan bagi minyak transformer berasaskan mineral dan ester selain pelincir industri di lima negara itu.

Hyrax Oil juga secara berasingan memeterai perjanjian kerjasama perkhidmatan teknikal dengan melantik Eternity Technology Engineering Co. Ltd sebagai rakan perkhidmatan teknikal eksklusifnya di Thailand.

Ad Banner

Kerjasama itu merangkumi perkhidmatan penggantian minyak transformer, sokongan kejuruteraan, latihan teknikal serta pertukaran kepakaran jurutera.

“Sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap infrastruktur tenaga lebih bersih dan selamat di seluruh Asia Tenggara, kerjasama ini hanya mengukuhkan kedudukan syarikat di peringkat serantau selain membantu pelanggan beralih kepada cecair penebat dengan keupayaan biodegradasi, termasuk rangkaian Hyrax Estramol yang disokong oleh rangkaian pengedaran tempatan serta kepakaran kejuruteraan,” menurutnya.

Pada majlis pemeteraian perjanjian yang diadakan di Kedutaan Malaysia di Bangkok, Hyrax Oil diwakili oleh Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulannya Datuk Hazimah Zainuddin serta Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Muhamad Lutfi Datuk Mohd Isa.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Metson Power pula diwakili oleh Pengasas Mol Chew Poh Soon dan Pengarah Urusan Eric Soon Wei Siang manakala Eternity Technology Engineering diwakili oleh Pengarah Chaiyanate Niamson dan Varanit Tapvong.

Majlis pemeteraian itu telah disaksikan oleh Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.

Sementara itu, Hazimah menyifatkan perjanjian berkenaan sebagai pencapaian bermakna untuk Hyrax Oil dan seiring usaha syarikat memperkenalkan rangkaian Hyrax Estramol ke pasaran transformer berasaskan ester di Thailand selain dapat memperkukuh kehadirannya melangkaui Subwilayah Mekong Raya.

“Menerusi langkah menggabungkan rangkaian pengedaran serantau Metson Power dengan kepakaran teknikal Eternity Technology Engineering, kami bukan setakat menyampaikan penyelesaian Malaysia, malah pengetahuan serta sokongan yang diperlukan bagi memajukan infrastruktur tenaga lebih selamat dan mampan di serata ASEAN,” katanya.

Hazimah berkata selain aspek manfaat alam sekitar semua syarikat terbabit, kerjasama itu akan turut mengukuhkan hubungan perdagangan dan perindustrian antara Malaysia dan Thailand.

Pada masa sama, kerjasama berkenaan dapat mewujudkan saluran eksport baharu bernilai tinggi, produk berasaskan sawit, nilai tambah kepada komoditi domestik dengan pengeksportan dalam bentuk mentah selain meluaskan jangkauan pengeluaran Malaysia ke serata kawasan Subwilayah Mekong Raya.

Bagi Thailand dan negara-negara jirannya, Hazimah berkata kerjasama itu akan memudah cara aspek pemindahan teknologi selain memperkukuh keupayaan kejuruteraan tempatan menerusi pasukan kejuruteraan Eternity Technology Engineering, menyokong bekalan tenaga lebih stabil, boleh dipercayai dan mampan bagi memacu pertumbuhan industri serta pelaburan di seluruh rantau ini.

Hyrax Oil yang ditubuhkan pada 1991, merupakan pengeluar pelincir dan cecair penebat transformer, termasuk cecair ester Hyrax Estramol, minyak transformer, produk khusus serta derivatif atau berasaskan petroleum.

Pada masa ini syarikat berkenaan beroperasi di lebih 40 negara di seluruh Asia, Timur Tengah dan Afrika.

-- BERNAMA