BERITA TERKINI   PM umum sumbangan RM2 juta kepada Institut Pemikiran Al-Qaradawi | 

Hubungan Dagang Malaysia-Rusia Tidak Terjejas Susulan Ketegangan Geopolitik - MITI

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Hubungan perdagangan antara Malaysia dan Rusia terus berkembang meskipun rantaian bekalan global berdepan gangguan susulan keadaan geopolitik di Timur Tengah serta ketegangan berterusan antara Rusia dan Ukraine.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata jumlah perdagangan dua hala meningkat sebanyak 7.0 peratus kepada RM3.55 bilion bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. 

Daripada jumlah tersebut, eksport Malaysia ke Rusia berjumlah RM1.10 bilion, manakala import dari Rusia bernilai RM2.45 bilion, menurut kementerian itu.

Ad Banner

Pada 2025, MITI berkata Rusia merupakan rakan dagang ke-31 terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan dua hala kedua-dua negara mencatatkan nilai RM8.72 bilion, bersamaan 0.28 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia sebanyak RM3.061 trilion atau sekitar 0.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. 

Jumlah eksport dicatatkan bernilai RM2.91 bilion dan import sebanyak RM5.81 bilion, katanya.

Eksport utama Malaysia ke Rusia merangkumi produk makanan diproses, minyak sawit dan produk berasaskan sawit, produk elektrik dan elektronik (E&E), produk halal, jentera serta komponen industri dan bahan kimia serta produk kimia.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, import utama dari Rusia terdiri daripada produk petroleum, bahan kimia dan produk kimia, logam, baja, produk mineral dan bahan mentah industri.

“Selain perdagangan barangan, kedua-dua negara turut mengenal pasti potensi kerjasama dalam sektor strategik seperti aeroangkasa, tenaga, teknologi digital, kecerdasan buatan, industri hijau, pembinaan kapal dan teknologi hidrogen,” kata MITI dalam jawapan lisan Dewan Negara yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen.

Kementerian berkenaan menjawab soalan Senator Datuk Wu Him Ven mengenai perdagangan Rusia-Malaysia termasuk nilai eksport dan import serta peratusan nilai perdagangan Rusia.

Bagi Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) dalam MIHAS 2026, MITI berkata penyertaan dijangka meningkat kepada empat pengimport berbanding dua pengimport pada tahun sebelumnya.

Selain itu, setakat 14 Julai 2026, sebanyak 15 syarikat Rusia mendaftar sebagai pempamer di MIHAS 2026, dan penyertaan dijangka membuka lebih banyak peluang eksport produk Malaysia, khususnya produk halal, di samping memperkukuh hubungan perdagangan dan kerjasama perniagaan dengan Rusia.

Malaysia akan memanfaatkan kedudukannya sebagai hab logistik dan perdagangan serantau untuk memperkukuh peranannya sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN, sekali gus meningkatkan daya saing negara dalam perdagangan antarabangsa, kata kementerian itu.

-- BERNAMA