BERITA TERKINI   PM umum sumbangan RM2 juta kepada Institut Pemikiran Al-Qaradawi | 

Kerajaan Pergiat Usaha Meminumkan Impak Unilateral AS Terhadap Sektor Semikonduktor, E&E

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Kerajaan sedang dan akan terus mempergiat usaha untuk meminimumkan impak tindakan unilateral Amerika Syarikat (AS) supaya Malaysia kekal menjadi destinasi pelaburan untuk sektor semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E).

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), hubungan perdagangan dengan AS turut akan diperkukuhkan melalui libat urus secara berterusan di semua peringkat bagi memastikan kepentingan industri Malaysia difahami dan dipertimbangkan dalam sebarang keputusan perdagangan yang diambil oleh AS.

Kerajaan telah mengambil inisiatif untuk memperkukuh daya saing industri melalui pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) selain memberi penekanan kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, peningkatan pemindahan teknologi, pengukuhan syarikat tempatan dan penyertaan yang lebih besar dalam rantaian nilai global.

Ad Banner

“Usaha ini dilakukan supaya Malaysia bukan sekadar menjadi lokasi pemasangan tetapi muncul sebagai hab teknologi yang menawarkan nilai tambah yang lebih tinggi,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Negara yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen.

Jawapan itu bagi menjawab soalan Senator Rita Sarimah Patrick Insol yang ingin tahu penilaian kerajaan terhadap risiko terdedah kepada tindakan perdagangan unilateral AS dalam sektor semikonduktor dan E&E.

MITI berkata kerajaan mengambil serius  terhadap perkembangan dasar perdagangan unilateral AS yang memberi kesan kepada sektor E&E termasuk industri semikonduktor negara. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pada 2025, sektor eksport E&E merangkumi 62.6 peratus daripada jumlah eksport negara ke AS, katanya.

Antara kesan-kesan yang mungkin timbul daripada tindakan tarif unilateral AS kepada Malaysia adalah penurunan daya saing eksport Malaysia di pasaran AS sekiranya produk Malaysia dikenakan kos tambahan berbanding negara pesaing dan memberi tekanan ke atas pengeluar yang bergantung kepada pasaran eksport.

“Dijangka juga pelabur yang sedia ada akan mengalihkan pelaburan ke negara yang tidak dikenakan tarif oleh AS dan menawarkan persekitaran perdagangan yang lebih kompetitif. 

“Ini akan menyebabkan peluang pekerjaan terjejas serta implikasi penutupan syarikat-syarikat tempatan yang terlibat di dalam ekosistem dan rantaian pengeluaran bagi pasaran eksport ke AS serta pelaburan asing,” katanya.

Bagaimanapun, MITI berkata risiko tersebut masih boleh dikawal. Ini adalah kerana Malaysia mempunyai kedudukan yang kukuh dalam rantaian bekalan global industri semikonduktor yang telah dibangunkan sejak lebih lima dekad yang lalu.

Malaysia merupakan salah satu hab industri semikonduktor dunia, dengan penguasaan kira-kira 13 peratus daripada pasaran global, terutamanya dalam segmen pemasangan, pengujian dan pembungkusan.

“Sekiranya tarif unilateral dilaksanakan, kesan tarif ini bukan sahaja terhad kepada pengeksport Malaysia sahaja, malah berpotensi meningkatkan kos pengeluaran cip dan komponen elektronik syarikat-syarikat AS yang bergantung kepada bekalan komponen dari Malaysia. 

“Oleh itu, sebarang gangguan terhadap eksport Malaysia akan turut memberi implikasi kepada pengilang dan pengguna di AS sendiri,” kata MITI.

-- BERNAMA