BERITA TERKINI   PRN NS: Semua pihak harus berkempen secara sihat berasaskan idea dan fakta, bukan fitnah atau perbuatan khianat - Fahmi | PM Singapura Wong umum perubahan Kabinet dan pelantikan politik lain - PMO | Malaysia tetap pertahan kedaulatan negara sekat kemasukan warga Israel, tidak tunduk gertakan wakil kongres AS- PM Anwar | Pengambilan pelajar matrikulasi tanpa kira kaum, latar belakang sosioekonomi penting bagi pastikan akses pendidikan lebih adil - PM | Dewan Negara lulus Rang Undang-Undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 | 

ECRL Perkukuh Pertumbuhan Ekonomi Di Pantai Timur - Timbalan Menteri

Oleh Anis Nabilla Md Wazilah

KUANTAN, 22 Julai (Bernama) -- Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka memberi manfaat besar kepada usahawan dalam meluaskan pasaran selain memperkukuh pertumbuhan ekonomi khususnya di Pantai Timur. 

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata pembangunan ECRL bukan sekadar menyediakan rangkaian pengangkutan moden, malah membentuk satu ekosistem ekonomi merangkumi rantaian pembekalan barangan dan perkhidmatan seperti pembinaan, operasi serta penyelenggaraan.

Ad Banner

Beliau berkata pembangunan itu turut mewujudkan peluang perniagaan baharu melalui sektor logistik, gudang dan kawasan perindustrian yang akan berkembang di sepanjang jajaran ECRL.

"Apabila wujud pembangunan ECRL berasaskan transit berasaskan pembangunan dan kargo serta taman perindustrian, ia akan membuka lebih banyak peluang komersial di negeri dilalui ECRL seperti Pahang, Terengganu, Kelantan dan Selangor," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mohd Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata penggiat industri turut berpeluang memperluaskan pasaran ke negeri lain dengan kos logistik lebih rendah dan tempoh penghantaran yang singkat.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, beliau melihat kemudahan pengangkutan rel akan membolehkan usahawan menghantar produk tempatan dengan lebih cekap, sekali gus meningkatkan kapasiti operasi dan produktiviti syarikat.

“Dengan pasaran lebih luas, ia mencipta lebih banyak peluang. Terdapat perbezaan antara mengeluarkan 10,000 unit dan mengeluarkan 20,000 unit. Semakin banyak produk kita hasilkan, semakin berdaya saing harga kita, katanya.

Beliau berkata ECRL juga dijangka memberi kesan positif kepada sektor pelancongan sekali gus merangsang aktiviti ekonomi setempat.

Menurutnya, peningkatan jumlah pelancong akan memberi manfaat kepada peniaga kecil, pengusaha makanan dan kraftangan serta pengeluar produk tempatan seperti batik.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan pemain industri supaya memanfaatkan peluang yang bakal diwujudkan menerusi projek infrastruktur negara itu dengan menyesuaikan model perniagaan kepada penggunaan teknologi baharu dan tidak hanya bergantung kepada model perniagaan tradisional sahaja.

Sebelum ini, projek ECRL di Pahang dilaporkan telah mencapai 97.33 peratus tahap kemajuan manakala keseluruhan projek mega yang dijadual siap Disember ini pula mencatatkan 93.66 peratus setakat April lepas. 

-- BERNAMA