BERITA TERKINI   PRN NS: Semua pihak harus berkempen secara sihat berasaskan idea dan fakta, bukan fitnah atau perbuatan khianat - Fahmi | PM Singapura Wong umum perubahan Kabinet dan pelantikan politik lain - PMO | Malaysia tetap pertahan kedaulatan negara sekat kemasukan warga Israel, tidak tunduk gertakan wakil kongres AS- PM Anwar | Pengambilan pelajar matrikulasi tanpa kira kaum, latar belakang sosioekonomi penting bagi pastikan akses pendidikan lebih adil - PM | Dewan Negara lulus Rang Undang-Undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 | 

Kilang, Industri Disaran Labur Semula Keuntungan Dalam R&D - Sim

GEORGE TOWN, 22 Julai (Bernama) -- Kilang dan pemain industri terutamanya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) disaran memanfaatkan prestasi perdagangan negara yang kukuh pada tahun ini dengan melabur semula keuntungan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), automasi dan pembangunan bakat bagi meningkatkan daya saing jangka panjang.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata syarikat perlu menggunakan peluang itu untuk menaik taraf operasi dan bersedia menghadapi kitaran pertumbuhan industri yang seterusnya.

“Saya ingin memberi nasihat kepada pengeksport, pemilik kilang dan pemain industri supaya memanfaatkannya dan seterusnya menaik taraf perniagaan mereka. Ini kerana tahun ini adalah tahun yang sangat baik dan mereka menjana keuntungan.

Ad Banner

“Oleh itu, mereka mestilah melabur semula keuntungan mereka. Jangan hanya menikmati kesemua keuntungan tetapi melaburlah semula dalam automasi dan R&D kerana perlu bersedia untuk kitaran seterusnya dan tidak boleh berfikiran jangka pendek.

“Keuntungan yang diperoleh mestilah dilabur semula dalam R&D dan bakat pekerja anda,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Electronics Manufacturing Expo Asia 2026 (EMAX 2026) di sini hari ini.

Ekspo selama tiga hari itu bermula hari ini dan disertai 250 reruai pameran melibatkan 20 negara.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau mengulas mengenai prestasi perdagangan Malaysia yang terus menunjukkan momentum kukuh pada separuh pertama 2026 apabila mencatat nilai tertinggi bagi tempoh Januari hingga Jun. Ini didorong oleh daya tahan sektor E&E di sebalik ketidaktentuan ekonomi global.

Jumlah perdagangan negara meningkat 22.4 peratus tahun ke tahun kepada RM1.796 trilion dan eksport berkembang sebanyak 27.5 peratus kepada RM971.59 bilion manakala import meningkat 16.9 peratus kepada RM824.44 bilion, sekali gus menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM147.15 bilion.

Sim, yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru berkata kedudukan Malaysia sebagai negara berkecuali membolehkan produk tempatan menembusi pasaran utama dunia termasuk Amerika Syarikat (AS), China dan negara lain.

Katanya Malaysia memiliki tenaga kerja mahir termasuk jurutera reka bentuk litar bersepadu (IC), jurutera pembuatan dan tenaga teknikal yang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri berteknologi tinggi.

“Malaysia kini berada pada kedudukan yang kukuh dalam sektor E&E hasil ekosistem industri yang lengkap merangkumi rantaian bekalan daripada huluan hingga hiliran, sekali gus menjadi antara faktor utama menarik minat pelabur global,” katanya.

Beliau berkata prestasi cemerlang negara dalam perdagangan membuktikan perdagangan negara kekal berdaya tahan walaupun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik di Asia Barat.

Katanya sektor E&E juga terus menjadi pemacu utama apabila eksport bagi sektor itu melonjak 42.5 peratus kepada RM467.9 bilion, mewakili hampir separuh daripada keseluruhan eksport negara.

“Ini menunjukkan permintaan global terhadap produk E&E Malaysia sangat kukuh dan membuktikan negara mempunyai kelebihan daya saing dalam industri ini,” katanya.

Sim turut menggalakkan golongan jurutera tempatan yang mempunyai idea dan kepakaran supaya berani menceburi bidang keusahawanan, khususnya dalam teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menurutnya, kerajaan menyediakan pelbagai geran dan bantuan kepada syarikat pemula niaga, sekali gus menjadikan tempoh pertumbuhan AI ketika ini sebagai masa yang sesuai untuk membangunkan syarikat teknologi tempatan.

Mengenai EMAX 2026, Sim berkata penyertaan meluas dari pelbagai negara membuktikan Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelabur global dalam sektor E&E kerana mempunyai ekosistem lengkap daripada peringkat huluan hingga hiliran termasuk proses ‘front-end’ dan ‘back-end’.

“'Menerusi EMAX juga pelabur boleh mendapatkan rangkaian pembekal, vendor, pengeluar peralatan serta bahan kimia khusus di Malaysia, sekali gus memberi kelebihan daya saing kepada negara berbanding destinasi lain,”' katanya.

-- BERNAMA