Tadbir Urus Berkesan Pemangkin Kepada Inovasi, Akauntabiliti - TNB
KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Tadbir urus yang berkesan adalah penting bagi membolehkan organisasi berinovasi dengan yakin selain memastikan akauntabiliti, etika dan pertimbangan manusia terus menjadi teras dalam setiap keputusan kritikal, kata Ketua Pegawai Digital dan Maklumat Tenaga Nasional Bhd (TNB) Azlan Ahmad.
Beliau berkata ini amat penting apabila kecerdasan buatan (AI) kini memainkan peranan yang semakin penting dalam operasi organisasi.
Di TNB, katanya falsafah ini diterjemahkan melalui Model Interaksi Manusia-AI TNB (THAIM) apabila tahap penglibatan manusia berdasarkan risiko dan kepentingan setiap kes penggunaan.
“Walaupun AI dapat meningkatkan kecekapan operasi dan menyokong proses membuat keputusan yang lebih baik, aspek sensitif seperti keselamatan, kesihatan dan infrastruktur kritikal terus memerlukan pertimbangan dan pengawasan manusia yang sewajarnya,” katanya.
Azlan berkata demikian pada perbincangan panel bertajuk, ‘If An AI Agent Makes the Wrong Call, Who Owns the Outcome?’ pada Persidangan & Pameran Platform Perniagaan Inovasi ASEAN (AIBP) Malaysia 2026, yang diadakan baru-baru ini.
Beliau menekankan bahawa kejayaan penggunaan AI bergantung pada teknologi dan budaya.
“Daripada mengehadkan penggunaan AI, TNB memberi tumpuan kepada memperkasakan tenaga kerjanya melalui pendidikan, tadbir urus yang jelas dan prinsip bersama yang membolehkan inovasi secara bertanggungjawab di seluruh organisasi,” katanya, sambil menambah AI yang bertanggungjawab akan menjadi asas kepada fasa transformasi perusahaan yang seterusnya.
Beliau berkata dengan menggabungkan tadbir urus, teknologi dan kepakaran manusia, TNB terus membina keupayaan digital yang selamat dan dipercayai serta memperkukuh daya tahan operasi selain menyokong masa depan digital Malaysia.
Persidangan & Pameran AIBP Malaysia yang diadakan setiap tahun secara tertutup menghimpunkan lebih 600 pihak berkepentingan kanan untuk membincangkan transformasi digital dan inovasi perusahaan.
-- BERNAMA