Untung Bersih Westports Naik Kepada RM360.90 Juta Pada Suku Kedua 2026, Umum Dividen Interim 2.99 Sen

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Untung bersih Westports Holdings Bhd bagi suku kedua yang berakhir 30 Jun, 2026 meningkat kepada RM360.90 juta daripada RM231.63 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Menurut pengendali pelabuhan itu, perolehan kumpulan juga meningkat kepada RM866.89 juta bagi suku berkenaan daripada RM691.06 juta sebelumnya.

“Pada suku kedua 2026, kumpulan mencatatkan perolehan operasi sebanyak RM808 juta, peningkatan 33 peratus berbanding suku yang sama tahun lepas.

Ad Banner

"Peningkatan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh perolehan yang lebih tinggi susulan kenaikan tarif,” jelasnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun, 2026, untung bersih menokok kepada RM687.40 juta daripada RM454.09 juta manakala perolehan melonjak kepada RM1.76 bilion daripada RM1.31 bilion sebelumnya.

“Kumpulan menjana perolehan operasi sebanyak RM1.60 bilion bagi tempoh enam bulan pertama berakhir 30 Jun, 2026 iaitu 30 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Sebahagian besarnya disebabkan oleh perolehan yang lebih tinggi susulan pelaksanaan kenaikan tarif serta peningkatan hasil daripada perkhidmatan nilai tambah,” jelas Westports.

Dalam pengumuman berasingan, Westports mengumumkan dividen interim pertama satu peringkat sebanyak 14.98 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2026.

“Lembaga pengarah memutuskan bahawa pelan pelaburan semula dividen (DRP) yang diluluskan oleh pemegang saham Westports pada mesyuarat agung tahunan (AGM) Westports yang diadakan pada 8 Mei, 2025, akan terpakai kepada 2.99 sen sesaham Westports, mewakili 20 peratus daripada dividen interim 2026.

“Lembaga pengarah diberi kuasa untuk memperuntukkan dan menerbitkan saham baharu Westports berkaitan dengan DRP selepas mendapat kelulusan daripada pemegang saham pada AGM yang diadakan pada 14 Mei 2026,” tambahnya.

Sementara itu, mengenai prospek, ia menyatakan jumlah pemindahan kapal serantau mungkin lebih dipengaruhi oleh cara syarikat perkapalan mengendali landskap yang sentiasa berkembang selain dipengaruhi oleh rantaian bekalan serantau dan keperluan ekonomi.

"Syarikat pada masa ini mengunjurkan jumlah keseluruhan pengendalian kontena akan kekal pada paras yang hampir sama seperti tahun sebelumnya selain akan mengemas kini panduan prestasi sekiranya keadaan yang berubah dengan pantas ini memberi kesan ketara terhadap prospek jumlah pengendalian," jelasnya.

-- BERNAMA