Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Berikutan Pengukuhan Dalam Harga Minyak Mentah, Soya
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi hari ini selepas dipacu oleh pengukuhan dalam harga minyak mentah dan minyak kacang soya di tengah-tengah ketegangan di Asia Barat.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata harga MSM meningkat melebihi paras RM4,650 setan memandangkan kenaikan dalam harga minyak mentah telah mendorong daya tarikan minyak sawit sebagai bahan mentah biodiesel, manakala keuntungan dalam minyak kacang soya menyediakan sokongan tambahan kepada pasaran minyak makan.
“Kami melihat harga kekal disokong baik melebihi RM4,600 satu tan, dengan rintangan serta-merta pada RM4,780 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Setakat hari ini, penanda aras minyak mentah Brent berada pada US$99.62 setong.
Pada penutupan, kontrak Ogos 2026 meningkat RM66 kepada RM4,596 satu tan, September 2026 melonjak RM80 kepada RM4,663 satu tan dan Oktober 2026 naik RM88 kepada RM4,710.
November 2026 menokok RM87 kepada RM4,741 satu tan, Disember 2026 bertambah RM85 kepada RM4,768 satu tan dan Januari 2027 menyaksikan peningkatan sebanyak RM82 kepada RM4,793.
Jumlah dagangan meningkat kepada 137,068 lot berbanding 110,403 lot yang dicatatkan pada hari Rabu, manakala kepentingan terbuka naik kepada 300,098 kontrak daripada 291,077 kontrak.
Harga MSM fizikal bagi Ogos Selatan adalah RM60 lebih tinggi pada RM4,600 satu tan.
-- BERNAMA