KL Midtown Lancar Menara Pejabat Mampan, Jangka Lebih Ramai Penyewa Pada Tahun Hadapan
KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- KL Midtown hari ini melancarkan menara pejabat ikoniknya yang mampan untuk dipajak dan menjangkakan berupaya menarik lebih ramai penyewa pada tahun hadapan.
KL Midtown dibangunkan oleh KL Midtown Sdn Bhd, sebuah syarikat usaha sama antara Hap Seng Land dan TTDI KL Metropolis.
Pengarah Pengurusan Hartanah Hap Seng Land Manfred Weber berkata syarikat itu telah memperoleh satu penyewa dan berkemungkinan besar mendapatkan dua lagi penyewa pada tahun ini.
“Kami akan menyerahkan ruang pejabat pertama kami kepada penyewa pertama esok, jadi penyewa itu secara harfiah akan mula menjalankan kerja pemasangan dan penyesuaian ruang pejabat pada Isnin minggu depan dan proses itu dijangka mengambil masa kira-kira tiga bulan.
“Peningkatan jumlah penyewa yang lebih besar secara keseluruhannya dijangkakan pada tahun hadapan,” katanya kepada media semasa sesi pratonton KL Midtown Signature Office Towers.
Menara KL Midtown telah dianugerahkan pensijilan Leadership in Energy and Environmental Design (LEED) Gold, manakala pensijilan Platinum Green Real Estate (GreenRE) dijangka diperoleh tidak lama lagi.
LEED ialah pensijilan bangunan hijau yang diiktiraf secara global dan dibangunkan oleh US Green Building Council (USGBC).
Pensijilan LEED Gold mengiktiraf bangunan yang mencapai piawaian tinggi dalam kemampanan, kecekapan tenaga, pemuliharaan air, kualiti persekitaran dalaman serta reka bentuk dan operasi yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Sementara itu, GreenRE telah ditubuhkan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) pada 2013 untuk mempromosikan dan menggalakkan kemampanan dalam sektor hartanah.
Menara pejabat itu merangkumi 19 tingkat dan meliputi jumlah kawasan bersih untuk disewa seluas 453,000 kaki persegi.
Weber berkata permintaan untuk ruang pejabat premium kekal kukuh kerana sesetengah penghuni bersedia untuk membayar lebih bagi pembangunan berkualiti tinggi yang menawarkan persekitaran kerja yang lebih baik dan memperkukuh kedudukan jenama mereka.
“Setakat ini, kami telah mendapat maklum balas yang positif mengenainya. Kami juga merasakan terdapat penyewa tertentu yang mahu dikaitkan dengan jenis pembangunan tertentu.
“Mereka mahu meningkatkan imej diri, mengangkat jenama mereka dan berada dalam pembangunan seperti kami dan mereka juga bersedia membayar untuk tujuan itu,” tambahnya.
Menara pejabat berkenaan turut menyediakan akses terus ke aras 5 AEON Mall KL Midtown yang bakal dibuka pada November tahun ini, selain dihubungkan dengan Hyatt Regency Kuala Lumpur yang telah beroperasi.
-- BERNAMA