Malaysia Perlu Bangunkan Tenaga Kerja Masa Depan, Manfaatkan Kebangkitan Ekonomi Asia
KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Malaysia perlu memanfaatkan kelebihan sendiri untuk menjadi pengeluar teknologi kompetitf global serta pada masa sama menyediakan tenaga kerja sedia masa depan demi menjana faedah daripada kebangkitan ekonomi Asia, kata Pengasas Bersama Strategic Intelligence Prof Henrik von Scheel.
Beliau berkata Malaysia kini mempunyai peranan penting memandangkan pusat graviti ekonomi global beralih ke arah Asia yang memberikan peluang kepada negara ini untuk membentuk industri masa depan dan dasar tenaga kerja, bukannya hanya mengikuti trend global.
Malaysia perlu terus memperkukuh industri yang menikmati kelebihan strategik, termasuk teknologi yang kekal penting kepada rantaian bekalan global, katanya.
"Sudah sampai masanya Malaysia menentukan tenaga kerja untuk masa depan, kemahiran yang anda perlukan dan industri yang akan ada pengaruh ke atas negara ini.
“Malaysia mempunyai keupayaan untuk membangunkan produk yang boleh dimanfaatkan oleh dunia," katanya semasa sesi jaringan “Leadership Circle Breakfast” Persekutuan Majikan- Majikan Malaysia (MEF) di sini, hari ini.
von Scheel, yang juga dikenali sebagai pencetus Industri 4.0, berkata MEF mempunyai peranan penting dalam membantu industri bersedia untuk fasa transformasi ekonomi seterusnya dengan mengenal pasti keperluan tenaga kerja masa depan daripada bertindak balas terhadap peubahan keadaan pasaran.
Beliau berkata kalangan majikan perlu menumpukan kepada sektor Malaysia yang memiliki kelebihan strategik dan tidak boleh digantikan dengan mudah, di samping memastikan pekerja dilengkapi dengan keupayaan yang diperlukan oleh industri masa depan.
Mengenai penerimagunaan kecerdasan buatan (AI), von Scheel berkata organisasi perlu mengutamakan tadbir urus dan perlindungan data serta penggunaan teknologi.
Beliau juga mengingatkan mengenai penggunaan 'AI bayangan' yang semakin meningkat, apabila pekerja memuat naik maklumat korporat sulit ke platform AI awam.
"AI adalah alat pengintipan, dan AI nerupakan pelanggaran terbesar terhadap modal intelektual.
"MEF perlu mempunyai piawaian dalaman yang jelas mengenai cara organisasi melaksanakan AI," katanya.
Beliau berkata syarikat perlu mewujudkan dasar AI dalaman untuk menghalang pekerja daripada mendedahkan maklumat perniagaan yang sensitif, termasuk rekod kewangan, struktur harga dan cadangan komersial, melalui sistem AI yang boleh diakses secara umum.
von Scheel berkata perniagaan perlu terus melabur dalam modal insan meskipun wujud kecanggihan dalam automasi manakala AI hanya melengkapi dan bukannya menggantikan kepakaran manusia.
Pada sesi tersebut, satu memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara Strategic Alliance, MEF dan Pusat Kepimpinan dan Ketamadunan Asia (ACLC), yang bertujuan untuk membangunkan organisasi dan pemimpin sedia masa depan untuk era perindustrian Malaysia seterusnya.
Ketua Eksekutif MEF, Datuk Seri Rosman Mohamed berkata pemindahan pengetahuan, perkongsian risikan strategik dan program pembangunan kepimpinan akan menjadi penekanan berdasarkan MoU itu.
"Kami ingin membawa MEF kepada peringkat seterusnya dan menyokong pertumbuhan berterusan Malaysia dengan menyatukan masyarakat sivil, kerajaan, institusi kewangan dan sektor korporat," katanya.
MEF ialah persekutuan majikan utama Malaysia, yang mewakili lebih 8,000 syarikat merentas semua industri di seluruh negara.
-- BERNAMA