Niaga Hadapan MSM Rendah, Eksport Lemah Tekan Pasaran
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini, tertekan oleh anggaran eksport minyak sawit yang lebih lemah walaupun harga minyak mentah meningkat.
Penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata data eksport yang lemah bagi Ogos turut menjejaskan sentimen pasaran.
“Harga nampaknya susut berikutan data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang kurang memberangsangkan serta anggaran eksport bagi 1 hingga 10 Sept 2026, walaupun harga minyak mentah tinggi,” katanya kepada Bernama.
Menurut AmSpec, eksport minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1 hingga 10 Sept merosot 17.46 peratus kepada 357,194 tan daripada 432,742 tan dalam tempoh sama pada Ogos.
Sementara itu, Intertek Testing Services (ITS) menganggarkan eksport pada 393,295 tan, turun 11.71 peratus daripada 445,466 tan sebelumnya.
Sathia berkata data MPOB turut menunjukkan eksport minyak sawit Malaysia susut 7.5 peratus kepada 1.29 juta tan pada Ogos 2026 daripada 1.39 juta tan pada Julai.
Pada penutup dagangan, kontrak September 2026 dan Oktober 2026 masing-masing turun RM71 kepada RM4,598 dan RM4,716 setan.
Kontrak November 2026 susut RM81 kepada RM4,885 setan, manakala kontrak Disember 2026 turun RM76 kepada RM5,033 setan.
Kontrak Januari 2027 merosot RM66 kepada RM5,154 setan dan Februari 2027 susut RM52 kepada RM5,248 setan.
Jumlah dagangan merosot kepada 149,992 lot daripada 337,207 lot pada Rabu, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 340,891 kontrak daripada 797,610 kontrak sebelumnya.
Harga fizikal MSM bagi penghantaran September Selatan turun RM30 kepada RM4,650 setan.
-- BERNAMA