OCBC Malaysia, CGC Lancar Kemudahan Jaminan RM1.3 Bilion Untuk Pacu Pembiayaan PKS

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- OCBC Malaysia telah bekerjasama dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) untuk mewujudkan kemudahan jaminan sebanyak RM1.3 bilion, bertujuan meningkatkan akses pembiayaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OCBC, Tan Chor Sen dalam satu kenyataan hari ini berkata lebih 3,000 perniagaan dijangka mendapat manfaat daripada inisiatif ini.

Beliau berkata kerjasama bank itu dengan CGC mencerminkan komitmen OCBC Malaysia untuk memperkasakan PKS ketika mereka mengharungi persekitaran perniagaan yang semakin dinamik dan membuat persediaan awal untuk peluang pertumbuhan masa depan.

Ad Banner

“Apabila keperluan mereka meningkat, akses kepada sokongan kewangan yang betul menjadi kritikal untuk membina daya tahan, meningkatkan daya saing dan memacu kejayaan jangka panjang.

“Melalui kerjasama OCBC dengan CGC, kami boleh menyediakan PKS akses yang lebih besar kepada penyelesaian pembiayaan fleksibel dan responsif, menyokong perniagaan pada peringkat pertumbuhan berbeza, daripada usahawan baharu kepada syarikat sudah bertapak kukuh,” kata Tan.

Dalam pada itu, OCBC memaklumkan bahawa melalui perkongsian jangka panjangnya dengan CGC, ia telah menyokong lebih 10,000 PKS dengan pembiayaan Islamik dan konvensional disokong CGC sebanyak RM4.2 bilion, dengan peruntukan terbaharu sebanyak RM1.3 bilion meningkatkan jumlah perlindungan jaminan bank itu kepada RM5.5 bilion.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Mohamed Nazri Omar berkata perkongsian ini menggariskan betapa kukuhnya kerjasama institusi dapat mewujudkan peluang pembiayaan bermakna untuk perniagaan berdaya maju secara komersial yang pertumbuhannya dikekang oleh cagaran terhad dan bukannya keupayaan.

“Dengan menggabungkan jangkauan pasaran OCBC Malaysia dengan kepakaran jaminan CGC, kami mewujudkan ekosistem pembiayaan yang lebih kukuh yang membolehkan lebih banyak PKS mengambil bahagian secara bermakna dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia, katanya.

Pembiayaan sebanyak RM1.3 bilion yang disokong oleh kemudahan jaminan itu tersedia kepada pelanggan baharu dan sedia ada OCBC Malaysia, terutamanya dalam kalangan komuniti Bumiputera, dan merangkumi skim yang menyokong segmen sasaran di bawah Kemudahan Penstabilan PKS (SME SRF) Bank Negara Malaysia.

-- BERNAMA